Sabtu, 31 Januari 2015

Tanah

Sebuah entri mengenai empat unsur di dalam kehidupan seharian kita iaitu api,angin,air dan tanah. Entri ini ditulis berdasarkan cerita yang hamba dengar daripada seorang ustaz yang mana beliau juga merupakan seorang anak gayong,sama seperti hamba. Seorang khalifah yang meminjam masa,kekuatan,sifat,kekayaan dan nyawa daripada Allah SWT demi mencari dan mengenali diri,Allah SWT dan rasul-Nya sama juga seperti hamba. Katanya, adapun kejadian anak Adam itu melalui empat perkara atau anasir iaitu api,angin,air dan tanah.

Apakah itu api,angin,air dan tanah?

Api itu panas,sakit,lapar,dahaga dan mengantuk. Angin itu bertutur,bernyawa,bergerak,berdiam dan berjaga. Air itu darah,air liur,air mata dan peluh manakala tanah itu daging,kulit,tulang dan kuku. Dan rahsia Adam ialah syariat,tarikat,hakikat dan maarifat.

Tanah menjadi air,
Air menjadi angin,
Angin menjadi api,
Dan api menjadi rahsia Nur Muhammad.
Dan adapun tanah itu menjadi daging,air itu menjadi tulang,angin itu menjadi urat manakala api itu menjadi darah.

Kisahnya bermula apabila seorang sahabat bahkan seorang berpangkat gurulatih kepada hamba membuka cerita bahawa dunia sekarang mempunyai pelbagai penyakit seperti kencing manis,sakit jantung,sakit buah pinggang dan sebagainya. Lalu ustaz tersebut mencelah dengan kata-katanya, “Orang sekarang lupa kepada satu unsur!”.

Ya,memang benar penyakit itu datangnya daripada Allah SWT,bahkan penawarnya juga datang daripada Allah SWT,bukanlah kerana ubat.Ubat itu hanyalah sebagai ikhtiar penyembuhan penyakit. Persoalan sekarang apakah satu unsur yang sebenarnya segelintir daripada kita lupa?

Jawapannya ialah TANAH. Mengapa dan kenapa? Lihatlah pada hari ini kita semua berjalan di atas lantai yang bersimen dan rata lagi cantik. Lantai yang mempunyai mozek atau tile yang licin dan sangat menarik coraknya. Apabila ingin berjalan di kawasan luar rumah, kita akan memakai kasut atau setidak-tidaknya memakai selipar. Kaki kita jarang memijak tanah. Ada orang langsung tidak lagi memijak tanah malahan berasa sangat jijik untuk memijak tanah tanpa selipar atau kasut.

Tiga unsur yang banyak kita gunakan ialah api,angin dan air. Sebagai contoh mudah, kita memerlukan air sebagai minuman. Kita juga memerlukan angin sebagai udara untuk kita bernafas dan kita memerlukan cahaya matahari untuk terus hidup. Cahaya matahari itu daripada api. Mana mungkin kita dapat hidup tanpa cahaya matahari. Cuba kita duduk sahaja di dalam rumah tanpa terkena dan melihat sinaran matahari,badan kita pasti menjadi lemah dan tidak bermaya. Lihat contoh yang telah ditunjukkan di dalam cerita Melayu lama iaitu Musang Berjanggut. P.Ramlee yang memegang watak sebagai putera Sang Nila Utama pernah bertanya kepada Puspawangi,mengapa tidak menggunakan payung sedangkan cuaca panas.

Hamba kongsikan di sini satu contoh yang diceritakan oleh saudara ustaz, mengapakah kita yang hidup mewah,mendapat tempat tinggal yang selesa,makanan sedap dan lazat,pakaian dan sebagainya terjaga namun masih terkena penyakit? Sedangkan seorang yang “tidak waras” ditepi jalan hanya mempunyai pakaian yang busuk,kotor dan koyak rabak,tinggal di kawasan jijik berlapikkan kotak dan makan makanan yang terbuang atau sisa-sisa masih sihat tanpa sebarang penyakit. Lihatlah perbezaan antara manusia yang hidup mewah dengan orang “tidak waras”. Kita menggunakan unsur api,angin dan air manakala sangat jarang menggunakan unsur tanah melainkan terdesak untuk memijaknya. Sedangkan orang yang “tidak waras” menggunakan kesemua unsur. Mereka tidak memakai kasut ataupun selipar. Mereka mampu berjalan hingga berkilometer tanpa berkasut dan berselipar.

Jika kita lihat di dalam cerita-cerita Melayu lama misalnya Semerah Padi dan Hang Tuah,watak-wataknya tidak memakai selipar atau kasut. Begitulah keadaan orang-orang dahulu yang sememangnya sangat kuat dan tidak mempunyai banyak masalah kesihatan sebagaimana mereka. Mereka mampu berjalan memijak pokok semalu,duri-duri,batu-batuan,reranting dan sebagainya dalam kehidupan hari-hari. Ke mana sahaja mereka pergi,mereka akan berkaki ayam. Tetapi lihat pula keadaan kita pada hari ini, semuanya nak berselipar dan berkasut. Tanya pada diri,bila kali terakhir kita memijak tanah? Dan kerana apa kita memijak tanah? Apakah kerana selipar tertinggal di belakang rumah atau selipar putus? Tepuk dada tanya hati.

Wallahua’lam…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan