Jumaat, 9 Januari 2015

Melayu Moden Yang Tak "Bertaring"

Sekadar penulisan peribadi… 
Keris… apa itu keris? Senjata pendek,berbengkok-bengkok dan tumpul. Ada yang mempunyai ukiran yang cantik hinggakan nilainya mencecah ribuan ringgit. Namun,berapa ramai pada hari ini yang boleh menceritakan sejarah Melayu dan keris dengan sebaik-baiknya. Tidak ramai… Anak-anak Melayu sekarang hanya membeli keris untuk dijadikan sebagai perhiasan semata-mata tanpa mengetahui apa itu keris,bagaimana cara bermain,adab-adab ketika memegang keris dan sejarah keris. 

Keris itulah yang meletakkan siapakah Melayu yang sebenar-benarnya pada masa dahulu,sekarang dan selama-lamanya. Kerislah lambang kedaulatan Melayu bahkan itulah senjata yang pernah digunakan oleh nenek moyang kita pada zaman dahulu kala bagi mempertahankan kedaulatan agama,bangsa dan tanah air. Adakah kita lupa sejarah kehebatan Melayu di mata dunia suatu ketika dahulu? Atau kita sengaja membutakan mata dan hati .

Anak-anak Melayu masa kini ramai yang tidak tahu bagaimana cara memegang keris,mencabut dan menyarung keris. Mereka hanya tahu menyelit dengan sebarang selit tanpa memahami maksudnya sedangkan setiap cara selitan mempunyai maksud-maksud tertentu. Kalaulah memegang,mencabut,menyarung dan menyelit sudah jahil,jauh sekali untuk mengetahui bagaimana kaedah untuk menikam dan menghiris. Jika ditanya anak-anak Melayu sekarang tentang nama-nama atau seni-seni dalam keris seperti tikaman anak sungai, kelek anak, simbat relang, amok jantan, radak julang, perahu dulang dan semai benih,sudah pasti ternganga mulut mereka. Apakah itu?


Nogosostro "Menanti Titah"

Sekarang tidak tahu memegang,mencabut,menyarung,menyelit dan sebagainya tentang senjata keris,tetapi akan datang tidak mustahil kalau ada waris-waris Melayu yang tidak mengenali apa itu keris. Entah apa yang mereka fikirkan. Entah kayukah? Buahkah? Game ? 

Sebenarnya,usah difikirkan soal waris-waris Melayu pada masa akan datang sama ada mereka kenal ataupun tidak apa itu keris,tetapi lihatlah diri sendiri pada hari ini. Jika dibawa dan diletakkan keris di hadapan kamu,lalu ditanya setiap bahagian-bahagian keris,apakah kamu boleh menjawabnya? Aring,balang,pamor,dagu keris,gandik,kurai,lambai gajah,lok,merubi,paksi,panjut,tebu-tebu,tapih,sigi,pendongkok dan tuli-tuli apakah itu? Di mana bahagiannya? Ini juga boleh dikatakan tidak mengenali apa itu keris.

Anak-anak Melayu… saudaraku sekalian. Bilakah kali terakhir kamu memegang keris? Tidak lain tidak bukan,hampir majoriti hanya memegang keris ketika majlis perkahwinan. Itupun kerana berpakaian pengantin ala-ala pahlawan atau raja di zaman dahulu. Keris diselitkan bersama agar nampak gagah dan hebat.Maklumlah… pengantin baru dan bergelar Raja Sehari. Keris pula main selit sahaja tanpa memahami apakah maksudnya. 

“Mengapa aku ingin mengetahui ilmu berkaitan keris sedangkan aku bukan seorang pesilat?” Ini pertanyaan daripada orang yang tidak ingin mengenal siapakah Melayu yang sebenarnya. Apa yang dikatakan dengan Melayu dan dari mana datangnya Melayu itu sebenarnya. Bukan mengajar untuk fanatik atau racist pada satu-satu bangsa,tetapi ingin mengajak mengenali Melayu yang pada hakikatnya sangat hebat. Tujuannya hanyalah supaya kita tidak terus “tidur” diulit mimpi dan khayal dek hiburan barat yang sememangnya ingin menjatuhkan kita. Adakah kita hanya akan bangkit apabila Tanah Melayu ingin sudah hampir tergadai dan dijajah kembali? 

Berbalik kepada keris dalam kalangan Melayu. Bukan pesilat sahaja yang harus mempelajari mengenainya,tetapi semua anak Melayu. Keris itu adalah senjata yang terunggul kita dan menjadi simbolik kepada alam Melayu. Jika kita lihat pada zaman dahulu, keris itu bagai menyempurnakan kehidupan seseorang Melayu. Sesiapa yang keluar berjalan tanpa diselitkan keris pada badannya maka boleh diibaratkan berbogel di khalayak ramai. Begitu juga simbolik keris pada hari ini, keris diselitkan pada pakaian pengantin lelaki sebagai pengiktirafan kelakiannya dan layak untuk memikul tanggungjawab . Tetapi tidak semua memahami simbolik keris tersebut malahan hanya menyelitkan dengan alasan untuk nampak segak.
 
Sedikit lagi berkaitan adab memegang keris, ada yang tidak tahu akan bersenang-lenang menghunus keris kepada sahabatnya di hadapan. Tidak boleh… keris jangan dihunus sebarangan jika tidak mengetahui maksud menghunus. Menghunus kepada musuh itu bermaksud musuh akan mati dalam pertempuran selain membawa maksud dendam Melayu. Pernahkah kita lihat keris di baling ke tanah hingga terpacak? Simboliknya semua dendam habis sampai di situ.Inilah Melayu,bukannya pengecut dengan mudah untuk menyerah kalah kepada musuh . “Pantang Melayu mati sebelum ajal”, selagi hayat di kandung badan, selagi itu perjuangan diteruskan demi memartabatkan agama,bangsa dan tanah air. Jangan diusik Melayu jika tidak,tamatlah riwayat. Itu baru sahaja berkaitan menghunus,tetapi apa pula maksud menjulang keris? Apakah bangsa lain dan bukan Islam layak memegang keris? Hak milik siapa keris ini sebenarnya? 

Teruskan mencari. Uniknya keris dalam sosio budaya Melayu sehingga menjadi lambang, darjat dan kudrat kekuasaan Melayu yang mencerminkan ketinggian budaya dan ketamadunannya. 

Wallahua’lam...




Tiada ulasan:

Catat Ulasan