Ahad, 11 Januari 2015

Pusaka Yang Tidak Bertapak

Pusaka yang dimaksudkan ialah SILAT MELAYU. 

Tidak bertapak di sini bererti kurang mendapat tempat dalam masyarakat. Jika kita bertanyakan pada orang yang lebih tua,mereka akan menjawab bahawa hampir setiap kampung pada zaman dahulu mempunyai gelanggang silat. Bahkan dalam satu kampung mempunyai pelbagai aliran silat yang berbeza. Silat pada masa dahulu menjadi rutin atau salah satu aktiviti wajib kerana silat menjadi pakaian untuk berlindung dan mempertahankan diri. Tidak seperti sekarang, ada sesetengah perguruan amat sukar untuk dicarikan. Entah masih ada atau telah pupus. Ada pula yang semakin mengembang. Akan tetapi,semuanya masih belum cukup untuk kita katakan silat Melayu sudah bertapak dan kembali ke tempat asalnya dalam kalangan masyarakat. Mengapa tidak? Lihatlah anak-anak muda Melayu,ramai daripada mereka melakukan perkara tidak berfaedah seperti merempit, mengambil dadah ,hiburan melampau dan jenayah. Jika kita mampu menarik mereka untuk menyertai silat,adalah tidak mustahil untuk kita membentuk mereka menjadi insan dan khalifah berguna di muka Bumi. Seterusnya, di mana gelanggang silat dalam sebuah kampung? Ada kampung menjadi sunyi dan sepi tanpa laungan dan jeritan “zat” pesilat. Dan yang paling besar, mengapa ibu bapa masa kini lebih suka menghantar anak-anak mereka ke kelas karate dan taekwondo? Inilah petanda bahawa silat Melayu sememangnya masih belum bertapak. 


 Gambar Hiasan : Perkhataman Keris

Bagi kita yang mempelajari dan mengamalkan seni silat Melayu sewajarnya mengambil langkah yang perlu bagi menapakkan silat dengan teguh di seluruh Tanah Melayu kerana inilah warisan pusaka yang telah ditinggalkan nenek moyang kita dahulu. Silat ialah pusaka terbesar kita dalam memelihara agama Islam,Melayu dan Tanah Melayu. Dalam silatlah lahirnya sikap kepimpinan,disiplin,karisma berwibawa dan pelbagai lagi nilai yang baik. Dalam silat jugalah kita diajar mengenal  adat dan yang paling penting ialah penekanan aspek kerohanian iaitu agama Islam. Melayu,silat dan Islam sememangnya tidak boleh dipisahkan. Inilah yang bakal membentuk siapa kita pada masa akan datang.Hayati kata-kata hamba… “Silat itu hanyalah kulit dan batin itu sebagai isi dan tulang manakala makrifatullah yakni mengenal Allah pula adalah kekuatan sebenar”. 

Sekarang kita lihat beberapa sebab yang menyebabkan silat Melayu itu tidak bertapak pada hari ini.Sebab pertama ialah malas berlatih dan cepat berpuas hati. Perguruan sudah cukup bagus, comel dan hebat namun anak muridnya belum mencapai tahap yang sepatutnya memakai bengkung atau tali pinggang. Apabila disuruh membuka kekuda masih lagi gagal,elakannya tidak pantas dan tangkapannya tidak kemas. Malah jika disuruh membuat kunci mati,si mangsa masih boleh tersenyum,berkata-kata dan bergelak ketawa. Inilah kesan daripada malas berlatih dan cepat berpuas hati. Lebih menyedihkan lagi,ada pula yang mengamalkan sikap “kejar bengkung”. Asalkan dapat mengingat semua pergerakan,elakan,buah dan sebagainya sudah memadai. Namun,jika dilihat daripada segi kecekapan,kemahiran dan kekemasan ia menjadi hancur. Mengejar bengkung itu tidak salah tetapi perlulah disertai niat yang paling utama iaitu mengejar ilmu. Sekiranya amalan “kejar ilmu” dan “kejar bengkung” ini menjadi seiring maka adalah tidak mustahil untuk kita lahir sebagai seorang yang mahir dalam ilmu persilatan. Adakalanya kita perlu mengejar bengkung untuk mencapai tahap atau level tertentu sebelum layak mempelajari ilmu peringkat tinggi. Janganlah hendaknya kita mengejar bengkung tinggi hanya kerana ingin berasa megah dan hebat. Apa yang harus kita ingat ialah semakin tinggi ilmu semakin tunduk kepada Allah SWT,semakin rendah diri dan semakin hormat kepada orang lain.  

Sebab kedua mengapa silat Melayu kurang bertapak ialah perasaan tidak mahu kalah. Jika pakar perubatan dan doktor mengatakan penyakit jantung sebagai penyakit nombor satu di Malaysia,hamba sebagai seorang pengamal seni silat Melayu pula berpandangan bahawa penyakit yang paling besar dan sangat kuat menular dalam kalangan Melayu ialah Penyakit Hasad Dengki atau PHD. Inilah yang menjatuhkan Melayu sehingga gagal untuk bangkit menjadi bangsa yang hebat dan digeruni seperti suatu ketika dahulu. Kerana PHD,ramai yang akan cuba merosakkan atau menyakitkan orang yang lebih pandai atau lebih handal daripada mereka. Mengapa tidak belajar dan berlatih sehingga menjadi lebih hebat? Perlukah amalan jatuh menjatuh sesama kita? 

Bila bercerita mengenai sikap, rata-rata melihat keburukan sikap guru dan perguruan menjadi barah dalam usaha menaikkan silat di kedudukan asalnya. Nasihat demi nasihat dan peringatan demi peringatan tidak lagi memberi kesan,bahkan bak kata kita yang berbuah ini ibarat nyanyian dan hiburan semata-mata. Bukan calang-calang antara kita yang boleh menitipkan kata-kata pedoman buat guru ternama. Segalanya tidak akan terkesan bagi mereka. Malah ada yang lebih teruk sehingga merasakan diri seperti tuhan dalam aspek jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan,senioriti dalam berpersatuan dan kehormatan sebagai seorang ketua. Inilah sebab musababnya. Bila mana sikap ego dan bodoh sombong menguasai diri,maka ketika itu hilanglah harga diri. 

Selain itu,silat juga menjadi kurang maju kerana adanya perpecahan. Masing-masing mengaku ada hak itu dan ini.Masing-masing tidak mahu mengalah. Tiada yang tampil untuk menjadi penasihat untuk menyedarkan mereka tentang tanggungjawab dan amanah bukanlah untuk kepentingan diri. Tanggungjawab dan amanah itu diberikan demi meneruskan kesinambungan warisan dan ilmu yang perlu dicurahkan kepada anak bangsa. Tidak perlulah untuk bertelagah dan akhirnya merugikan semua pihak. Siapapun kita,samada dari perguruan yang berbeza,kita semua adalah satu iaitu Islam dan Melayu. Kita semua adalah bersaudara. Satu masa kelak kita bakal kembali mengadap Allah maka apa gunanya jika takabur dan riak menguasai diri sehingga amanah hanya tinggal amanah dan tanggungjawab akan menjadi tidak bertanggungjawab. 

Akhir sekali,bodoh,sombong,ego dan jahil bagi orang dalam kategori tidak belajar silat,tidak faham silat dan tidak mengkaji silat tetapi suka menghukum silat dengan pelbagai amalan khurafat dan syirik,suka melabelkan silat dengan label lapuk ditelan zaman dek kerana bunga tarinya dan terlalu tradisional dan klasik. Masalah pertama, sudahlah tidak ingin belajar silat kemudian sombong nak faham dan mengkaji silat tetapi dengan mudah berkata silat akan membawa kepada khurafat. Memang tidak dinafikan bahawa terdapat segelintir guru yang mengamalkan ilmu yang salah sehingga jatuh kepada mensyirikkan Allah,tetapi hanya segelintir dan tidak semua. Hamba tidak mengatakan mana-mana perguruan kerana masalah ini berlaku disebabkan seseorang guru yang songsang. Kerana seorang guru yang salah, satu perguruan dipersalahkan dan diperburukkan. Malahan hingga satu dunia persilatan dihukum dengan tanggapan yang salah. Mengenai bunga silat, sememangnya ia nampak lembut. Namun dalam lembut ada kerasnya. Inilah silat, satu seni beladiri yang menekankan sikap berhati-hati dan tidak terburu-buru dalam tindakan.


Hakikatnya masih terlalu banyak sikap buruk yang menjadi punca silat Melayu kurang maju berbanding taekwondo dan karate. Perkongsian yang sedikit ini harap mampu membuka minda dan bersama-sama untuk bermuhasabah diri agar kita dapat lahir semula sebagai Melayu yang hebat dan perkasa dari segi nilai-nilai mulia,kependekaran, keagamaan dan sebagainya. Bagi generasi sekarang dan akan datang, perubahan mentaliti amatlah penting dalam melihat diri sebagai seorang guru yang segani. Anjakan paradigma tersangat-sangat perlu. Nilai integriti seperti hormat menghormati antara satu sama lain sama ada muda atau tua, berdaya saing dan pegangan agama yang kukuh perlu ada. Yang baru saja bergelar guru atau yang bakal hendaklah ada perubahan dalam diri agar dapat menerajui perguruan dengan baik dan harus sedar bahawa kuasa yang dipegang menjadi tanggungjawab dan amanah. Suka untuk hamba ingatkan kepada semua termasuk diri hamba, sebelum kita lihat kekurangan anak-anak murid ,sahabat seperguruan dan sebagainya,lihatlah kekurangan yang ada pada diri sendiri terlebih dahulu. Kadang-kadang ia berpunca daripada kesilapan diri kita sendiri yang menerajui. Sebelum mengakhiri… hamba tinggalkan nama ini untuk kita ingat kembali jasa-jasa mereka. Hang Tuah,Hang Jebat,Hang Lekir,Hang Kasturi,Hang Lekiu,Datuk Bahaman,Tok Gajah,Tok Janggut,Datuk Maharajalela,Mat Kilau,Awang Jenain,Dol Said,Mat Salleh,Datuk Bentara Luar Johor dan Tun Perak. 


Harap bermanfaat, wallahua’lam…

Peringatan : Ini adalah pandangan dan peringatan bersama secara menyeluruh terhadap dunia silat Melayu dan tidak menyentuh mana-mana perguruan atau individu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan