Jumaat, 16 Januari 2015

Jebat Lambang Keberanian Melayu

JEBAT

Sejarah Melayu mengatakan sebaik sahaja Jebat diberi gelaran Laksamana menggantikan Tuah dan memegang keris agung Tamingsari,beliau telah bertindak sebagai penderhaka kepada sultan. Alasan yang dikatakan ialah membalas dan menuntut bela atas kematian Tuah. Bagi Jebat,Tuah melebihi seorang sahabat dan melebihi seorang abang. Jebat,satu nama yang lebih menonjol selepas Tuah berbanding tiga yang lain iaitu Kasturi,Lekir dan Lekiu kerana sikapnya yang diceritakan sangat agresif namun taat kepada ketua,Tuah. Ramai pada hari ini akan ingat,apabila sebut sahaja “Tak kan Melayu hilang di dunia”,maka itulah kata-kata keramat Tuah,laksamana agung lagi taat dan setia kepada sultan.Sebut sahaja “Raja adil raja disembah,raja zalim raja disanggah”,maka itulah kata-kata keramat yang pernah dilontarkan oleh Jebat,dikatakan penderhaka dan hanya beliau yang boleh berkata-kata sedemikian atas kelakuan beliau.


 Gambar Hiasan : Drama adik abang

Siapa Jebat bukanlah isu dan persoalan yang perlu dicari jawapan,tetapi peranan beliau yang diceritakan terkeluar dalam tatacara dan norma-norma dan hukum hakam alam Melayu beradat.Bermula daripada seorang yang taat kepada sultan Melaka,berakhir sebagai penderhaka. Ianya adalah kata-kata yang tercatat dalam sejarah. Siapalah hamba dan siapalah kita untuk menghukum Jebat dengan kata “Penderhaka”. Pada pandangan hamba, biarkanlah ia dengan sejarahnya,yang penting ialah Melayu mempunyai jati diri dalam menentukan hala tuju dan visi Melayu di Tanah Melayu yang tercinta ini sebagai sedikit pengajaran dan penghayatan tentang individu Jebat ini. 

Jebat,namanya kini sering dibicarakan untuk mencari kebenaran dan menjadi perbandingan dengan Tuah.Adakah Jebat derhaka kepada raja atau Tuah menderhaka kepada persahabatan? Jebat ,pahlawan terbilang atau pahlawan yang telah hilang,Melayu yang setia mengorbankan nyawa demi Tuah dan penegak kepada kehebatan Melayu serta kedaulatan raja. Pada pandangan hamba, kita bukanlah sesiapa dan tidak layak untuk mengadili mereka berdua kerana nilai yang dipegang di kedua-dua zaman atau era ini adalah sangat jauh berbeza. Ianya adalah isu yang subjektif dan akan kekal sebegitu selamanya. Sejarah yang telah berlalu tidak boleh diubah. Janganlah hendaknya kita berbicara atau memperdebatkan siapa yang benar dan siapa yang salah. Sebaliknya,ada lebih baik jika kita lihat dan ambil pengajaran serta iktibar dari kisah tersebut. Tuah, lambang kebijaksanaan dan kesetiaan. Jebat,lambang keberanian dan keperwiraan manakala Kasturi,Lekir dan Lekiu lambang persahabatan. Jika Tuah tanpa Jebat,Jebat tanpa Tuah,Tuah tanpa Kasturi,Lekir dan Lekiu dan Jebat tanpa Kasturi,Lekir dan Lekiu,maka tiadalah sejarah yang tercatat pada hari ini. Tiadalah lima panglima yang menjadi lambang kesetiaan, kebijaksanaan, kehebatan, keperwiraan, keberanian,ketangkasan dan persahabatan dalam Melayu.Hanya apabila kelima-lima panglima ini lengkap barulah nama Melayu menjadi gah dan tersohor.Jika Melayu pada hari ini boleh mempamerkan keseluruhan sifat-sifat lima panglima agung tersebut,nescaya Melayu mampu bangkit dan mengapai semula kegemilangan yang pernah terukir dalam lipatan sejarah dunia.

Pernahkah kita berfikir sejenak bagaimana jika Jebat yang “Penderhaka” menang dalam pertarungan atau Tuah juga turut membelot? Di manakah Melayu pada hari ini dan bagaimana pula dengan sejarah yang tercatit pada hari ini? Tuah membela kesucian Islam yang dinaungi oleh sultan ketika itu kerana Islamnya sultan maka seluruh rakyat jelata terutama Melayu akan menerima Islam tanpa  bantahan atau perang. Jebat pahlawan sejati,tak makan dek bodek,tak megah dek pangkat,mempunyai prinsip,berani dan tangkas,hati kering,seorang yang hebat dan sahabat yang setia. Tuah ,pendekar Melayu sejati yang menurut perintah sultan walau pahit untuk ditelan,Tuah tetap menjunjung segala perintah sultan.Jebat,atas semangat setia kawan yang tinggi datang mencari kebenaran yang entah di mana,beroleh kemenangan di dunia atas amukan Jebat yang bermaharajalela setelah berjuang atas hatinya yang menyatakan beliau benar. Seorang pejuang yang banyak berjasa sebelum dikatakan penderhaka dan bergerak atas keberanian yang ada. 

Walaupun matlamat tidak menghalalkan cara,namun keberadaan Jebat tetap akan dikenang dalam lipatan sejarah tanah air sebagai pencetus kontroversi sepanjang zaman.Nama Jebat tetap tertulis sebagai hulubalang Melayu bersama-sama Tuah,Kasturi,Lekir dan Lekiu.Jebat,taat setia kepada ketua.Sayangnya bukan dilahirkan sebagai seorang pemimpin tetapi wira.Apabila tiada Tuah,Jebat bagai hilang imbangan dan pedoman. Raja Melayu di Melaka sudah tiada. Tuah yang setia bersedih dan Jebat yang pembela juga bersedih. Tuah dan Jebat bersama menjunjung prinsip adat bercerai keris menari,bercerai kasih tidak sekali.

Jebat mengamuk selepas ditikam Tuah bukannya mengamuk ke atas orang yang tidak berdosa tetapi membunuh orang-orang yang terlibat dalam konspirasi politik,penderhaka,kroni dan penipu bangsa yang bertopengkan kepentingan istana.Tuah dan Jebat bertikam atas dasar menjaga adat dan adab Melayu yang bertunjangkan syariah Islam. Itupun penuh dengan rasa hormat antara satu sama lain.Malah pernah diceritakan mereka boleh berborak-borak ketika berehat selepas penat “bertarung”. 

Dunia… mampukah dunia Melayu dan sejarah menjawab ke mana hilangnya Tuah? Ke mana hilangnya Jebat? Laksamana terbilang dalam hikayat Melayu. Pendekar termasyhur lima bersahabat bersatu teguh bercerai roboh. Dan mampukah sejarah menjawab ke mana hilangnya para pendita? Mereka hilang dalam nyata hingga luputlah pengetahuan kita. 

Raja yang berdaulat raja yang terhormat,biar kita berputih tulang jangan kita berputih mata.Alang-alang menyeluk pekasam biarlah sampai ke pangkal lengan. Sayang seribu sayang,Rajaku di mana? Tuah di mana? Dan Jebat di mana? Sejarah hanya tinggal sejarah. Penderhakaan Jebat tidak patutlah dijadikan sebab untuk orang Melayu menderhaka sebab Melayu pantang menderhaka kepada Raja. Penderhakaan Jebat ada sebabnya tersendiri dan patut dijadikan iktibar dan sudah menjadi sejarah.Biarlah ia berlalu,usah diperdebatkan lagi mengapa Jebat derhaka dan di manakah salahnya,di manakah silapnya. Tetapi,lihatlah dan ambillah pengajaran daripada apa yang berlaku.Kita ada pahlawan kita,kita ada perjuangan kita. Dan sejarah tetap sejarah.

Wallahua’lam…

Tiada ulasan:

Catat Ulasan