SEBAB-SEBAB PEPERANGAN
Perang ini berlaku dalam bulan Ramadhan,tahun kedua hijrah ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup.Sebab yang mendorong kepada berlakunya Perang Badar ialah perpindahan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah tidak disenangi oleh pihak Quraisy kerana perpindahan tersebut akan menguatkan lagi kedudukan orang Islam. Selain itu, perpindahan atau penghijrahan ini akan memudahkan tugas Rasulullah SAW untuk mengembangkan agama Islam secara meluas dan bebas lagi ke seluruh Tanah Arab. Maka,wujudnya rasa bimbang dari kalangan Quraisy terutamanya kerana kota Madinah tersebut merupakan tempat persinggahan mereka berulang-alik ke negeri Syam. Pihak Quraisy telah menyaksikan keadaan Rasulullah SAW dan para sahabat di Madinah mulai stabil. Lantas pihak Quraisy bertindak kejam dan ganas dengan cara memusnahkan harta orang Islam yang masih ada di Mekah.
Gambar Hiasan : Tentera Berkuda |
Selain itu,mereka juga mencari kesempatan untuk melakukan serangan dengan cara membuat satu gerakan sulit bersama pihak Yahudi.Gerakan ini bertujuan hendak menghancurkan perkembangan agama Islam di Madinah.
Bagi pihak Islam di Madinah,mereka telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan pencerobohan. Rasulullah SAW diperintahkan bahawa waktu ini Madinah ini bukan masanya lagi untuk terus berlemah-lembut sebagaimana di Mekah dahulu. Sesuai dengan agama Islam sebagai agama keamanan dan kesejahteraan, maka Rasulullah SAW perlu mempertahankan kemuliaan diri orang Islam.
Dalam bulan Ramadhan, tahun kedua hijrah, Rasulullah SAW diberitahu bahawa orang Quraisy akan melalui pinggir kota Madinah dalam perjalanan mereka dari Syam ke Mekah. Sebaik sahaja Rasulullah SAW diberitahu,baginda bersama-sama dengan 313 tentera termasuk beberapa orang askar berkuda menuju ke Badar iaitu satu kawasan yang terletak di luar kota Madinah. Tujuannya ialah mendesak orang Quraisy supaya menghentikan gangguan mereka terhadap Rasulullah SAW dan mendesak mereka supaya mencari jalan lain untuk kafilah mereka yang berulang-alik dari Mekah ke Syam. Langkah ini diambil kerana ingin memastikan orang-orang Madinah berasa aman dan tenteram. Ia juga bertujuan untuk menunjukkan kepada orang Yahudi dan orang munafik Madinah tentang keberanian orang Islam.
Berita angkatan Islam tersebut telah diketahui oleh Abu Sufian,ketua orang Qurasiy dalam perjalanan itu. Mereka kemudiannya mengambil jalan lain dan menghantar perutusan ke Mekah meminta bantuan tentera dengan alasan untuk melepaskan harta benda orang Quraisy daripada dirampas oleh orang Islam.Semua orang kenamaan Mekah selain daripada Abu Lahab bin Abdul Muttalib mengambil bahagian dalam angkatan tentera bantuan itu. Bilangan mereka dianggarkan 1000 orang.
Angkatan tersebut kemudiannya bergerak menuju Madinah.Di pertengahan jalan,mereka bertemu dengan utusan Abu Sufian yang memberitahu bahawa orang Islam tidak menyekat kafilah mereka. Mendengar berita ini,ramai antara mereka mahu balik semula ke Mekah.tetapi Abu Jahal enggan berpatah balik. Dia menggesa supaya meneruskan perjalanan hingga sampai ke Madinah. Abu Jahal mempunyai kepentingan peribadi yang ingin menyelamatkan harta dan kekayaannya. Maka,perjalanan diteruskan untuk menghapuskan orang Islam di Madinah.
PERTEMPURAN MELETUS
Kemaraan tentera Quraisy telah diketahui oleh Rasulullah SAW maka baginda pun bermesyuarat dengan orang Islam dan mengambil keputusan akan menentang kemaraan dan serangan tentera Quraisy. Tanggal 16 Ramadhan, tentera Islam sampai ke Badar. Oleh kerana pihak Quraisy terlebih dahulu berhenti di sebelah lembah yang ada air maka terpaksalah pihak Islam berhenti di tempat yang tiada air.Tetapi seorang sahabat mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya orang Islam mengorek kolam supaya air yang mengalir ke sebelah pihak Quraisy itu dapat juga mengalir ke kolam. Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan itu dan orang Islam pun mula bekerja.
Keesokannya iaitu 17 Ramadhan, meletuslah pertempuran yang hebat di antara kedua pihak. Pertempuran ini terjadi kerana seorang tentera musuh yang bernama al-Aswad bin Abi al-Aswad menyerbu ke pihak Islam kerana hendak memecahkan kolam air tetapi segera dibunuh oleh Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Kemudian keluar tiga orang pahlawan Quraisy mencabar orang Islam yang berani beradu kekuatan. Mereka ialah Utbah bin Rabiah, anaknya al-Walid bin Utbah dan saudaranya Syaibah bin Rabiah. Cabaran ini disambut oleh tiga pahlawan Islam iaitu Sayyidina Hamzah,Sayyidina Ali dan Ubaidah bin al-Haris. Ketiga-tiga pahlawan Quraisy berjaya dibunuh.
Setelah itu berlakulah pertempuran yang hebat antara tentera Islam yang mempunyai keyakinan Iman dengan tentera Quraisy yang mempunyai kekuatan fizikal semata-mata.Rasulullah SAW berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT,kemudian mara ke hadapan memberi perangsang kepada tenteranya. Pertempuran terus berlaku dari pagi sampai ke tengah hari.Akhirnya tentera Islam mendapat kemenangan. Seramai 70 orang pihak Quraisy termasuk Abu Jahal dan Umayyah bin Khalaf telah terbunuh manakala selebihnya ditawan. Tentera Islam hanya 14 sahaja yang gugur syahid.
SELEPAS PEPERANGAN
Di Madinah, Rasulullah SAW memikirkan bagaimana cara yang patut dilakukan ke atas tawanan perang. Perkara ini dibawa ke satu mesyuarat orang-orang Islam. Sayyidina Umar yang terkenal dengan sifatnya yang garang dan mudah menuntut bela mengesyorkan supaya tawanan tersebut dibunuh kerana mereka adalah seteru Allah SWT,lambat laun mereka akan menentang agama Islam dan penganutnya. Cadangan ini tidak mendapat sokongan ramai. Kebanyakan orang menyokong pendapat Sayyidina Abu Bakar yang mencadangkan supaya dikenakan bayaran penebus diri. Dengan ini ekonomi orang Islam akan bertambah dan melalui layanan yang baik maka mudah-mudahan mereka akan diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam.
Rasulullah SAW mengambil keputusan mengikut pendapat Abu Bakar yang mendapat sokongan majoriti. Baginda mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi-tingginya ialah sebanyak 4000 dirham dan serendah-rendahnya ialah 1000 dirham. Mana-mana yang miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis kehendaki supaya mengajar 10 orang kanak-kanak Islam. Mereka ini kemudiannya dibebaskan apabila tebusan itu dibayar ataupun kanak-kanak itu sudah pandai.
Kemenangan pihak Islam dalam peperangan Badar menguatkan lagi kedudukan orang Islam di Madinah.dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan munafikin Madinah. Di Mekah, pengaruh orang Quraisy mulai lemah dan merosot.
Orang-orang yang ditawan itu pula apabila balik ke Mekah,mereka menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita-cerita ini dengan secara tidak langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Mekah. Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari pihak Quraisy di Mekah telah berhijrah secara diam-diam ke Madinah.
KESIMPULAN RINGKAS DAN SOKONGAN TERHADAP PERJUANGAN DR MUHAMMAD MORSI
Begitulah cerita mengenai sejarah Perang Badar yang menyaksikan kemenangan kepada pihak Islam. Kesan daripada Perang Badar,agama Islam semakin berkembang dan pengaruhnya semakin diterima oleh masyarakat Mekah. Islam ialah agama yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan sejagat. Islam juga agama yang sesuai untuk setiap peredaran zaman. Dalam masa menjaga keamanan, Islam menunjukkan sikap tegas agar pihak musuh terasa gerun dan takut untuk menindas serta melakukan kezaliman terhadap orang-orang Islam.
Dr Muhammad Morsi |
Di kesempatan ini, admin Seruling Melayu memohon dan menyeru agar kita memberikan sokongan kuat terhadap isu yang terbaru melibatkan maruah dan kedaulatan agama Islam iaitu isu Mesir. Kita sudah maklum bahawa Mahkamah Mesir telah membuat keputusan hukuman mati terhadap Presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi yang sah iaitu Presiden Dr Muhammad Morsi dan lebih 100 pejuang Ikhwanul Muslimin yang lain. Turut dihukum ialah Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia iaitu Dr Yusuf al-Qaradhawi. Sebagai Muslim yang ambil peduli akan saudara Islam, ayuh tunjukkan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan Dr Muhammad Morsi dan para pejuang Ikhwanul Muslimin di Mesir. Tunjukkan juga bahawa kita di sini menolak,mengecam sekeras-kerasnya dan menentang kezaliman rejim al-Sisi. Tanda sokongan boleh dibuat dengan menukar profile picture atau cover page dalam facebook masing-masing atau group tertentu kepada gambar Dr Muhammad Morsi. Di samping itu, marilah kita bersama-sama berdoa untuk pembebasan Dr Muhammad Morsi, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lebih 100 pejuang agama yang lain. Diharapkan agar keputusan menjatuhkan hukuman mati tersebut tidak mendapat pengesahan Mufti Besar Mesir dan selanjutnya mengubah keputusan akhir yang bakal diketahui pada 2 Jun nanti. Takbir!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Wallahua'lam...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan