Rabu, 13 Mei 2015

Aku hanya "PEMINJAM"

Ya Allah Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Melihat...

Aku hanyalah seorang hamba yang amat daif.Aku lahir ke dunia dengan meminjam satu nyawa daripada Mu.Kehidupan aku di dunia yang fana ini juga meminjam nikmat daripada Mu.Engkau telah memberikan aku nyawa untuk memenuhi jasadku agar aku dapat bangkit dan hidup di dunia persinggahan ini.Bahkan jasadku juga dicipta oleh Mu. Setelah Engkau cipta jasadku,setelah Engkau tiupkan roh kepada jasadku,Engkau berikan pula aku ruang untuk menghirup udaraMu yang segar. Tanpa udara manakan bisa aku bernafas dan meneruskan kehidupan. 

Tidak cukup dengan itu, Engkau berikan rezeki dalam bentuk makanan dan air agar aku dapat menghilangkan lapar dan haus. Engkau kurniakan nikmat yang tidak terhingga yang tidak mampu aku bayar. Jikalau ada ratusan juta ringgit sekalipun, ia bukanlah milik aku sebaliknya ia datang daripada Mu. Aku hanya hamba Mu yang tersangat miskin. Jika aku kaya dengan bertan-tan emas,itu juga rezeki kurniaanMu. Bumi ini milik Engkau, Alam Semesta ini jua milik Engkau, aku juga milik Engkau. 

Semenjak aku dilahirkan sehingga kini, aku seringkali lalai dalam mengingatiMu. Engkau Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,tidak pernah Engkau pinta untuk aku sebagai seorang hamba membalas apa yang telah Engkau beri pinjam,bahkan diriku juga meminjam. Aku tahu Engkau hanya mahu aku mengabdikan diri kepada yang Khaliq, bertakwa dan beramal kepada apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. 

Namun,sampai ke hari ini,iman dan takwaku masih terumbang-ambing. Hidup aku diselubungi dosa dan maksiat. Di sekelilingku,ada maksiat. Di hadapan aku,di kanan kiri aku dan di belakang aku jua ada maksiat. Dunia yang kini semakin gelap,semakin lupa kepada yang Maha Esa. Aku dihimpit dengan dosa dan maksiat,kadang-kadang aku juga terseret dalam lembah maksiat. 

Aku cuba dan terus mencuba untuk menjadi hambaMu yang taat. Tetapi aku masih lagi gagal. Aku masih belum memainkan akhlak Islam yang sebenar. Aku masih gagal mengawal stereng kereta aku daripada berlanggar ,masih belum berjaya untuk membawa dalam keadaan yang baik sedangkan aku telah berada di atas jalan yang lurus tanpa lengkok dan selekoh. 

Allah... Engkau tahu apa yang aku alami.Bantulah aku. Berikanlah kekuatan kepada aku untuk mencari titik mula yang sebenar-benarnya agar aku dapat menjadi khalifah yang sentiasa berada di bawah berkat,mawaddah dan sakinah serta rahmat dari Mu wahai Tuhan. Sayangilah aku ya Allah...

Aku tiada kekuatan untuk berdiri di bawah terik matahariMu,aku memerlukan pertolonganMu agar aku dapat merentasi titisan sirat dalam perjalanan menuju SyurgaMu wahai yang Maha Esa. Aku memohon pada Engkau, berikanlah ruang untuk aku terus memperolehi nikmat Islam dan nikmat Iman, terimalah hambaMu yang hina ini. 

Allah... Aku pohon padaMu ya Allah,lembutkanlah hati mereka,bukalah mata dan hati mereka untuk memahami tentang cabaran aku di masa ini. Sesungguhnya mereka jua adalah hamba-hambaMu yang bernaung di bawah kekuasaanMu,maka tiupkanlah rahmatMu kepada mereka. Ampuni aku ya Allah...

"Si Peminjam"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan