Khamis, 28 Mei 2015

Dengan Bismillah mula dikata,
Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia;
Kerana wajib telah ternyata,
Segala perbuatan mahulah diserta.
Seni Gayong payung pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia;
Rahsia tersimpan di purbakala,
Ilham menyusun zahir semula.
Lembaganya bersih baunya suci,
Berseru kepada putera dan puteri;
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.
Gayong mencantum bersatu padu,
Mengingatkan junjungan empunya seru;
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.
Matahari terbit Palembang Seguntang,
Tanahnya subur ditanam padi;
Keris dihunus, dipegang, dijulang,
Kesatriaan pahlawan timbul kembali.
Gayong emas kendi pusaka,
Bekalan air raja kesakti;
Keris kuhunus langkah kumula,
Bangsa Melayu sudah terpuji.
Besi kuning besi kesakti,
Anak panah Sang Rajuna;
Kembali Gayong kebudayaan asli,
Di Tanah Melayu hulubalang tua.

Tempana Nipis nama asalku,
Keris pusaka Ratu Dewangga;
Niat derhaka kepada rajaku,
Taming menyerah keris pusaka.
Tempana Nipis nama asalku,
Besi tua di Tanah Jawa;
Hidup kembali kebudayaan bangsaku,
Tidak Melayu hilang di dunia.
Majapahit nama negara,
Tempat ratu raja Jawa;
Kalau diguna akal bicara,
Kebudayaan Melayu subur semula.
Seni Gayong seni asli,
Dari pusaka ibu pertiwi;
Umat Melayu menjunjung tinggi,
Akhir hayat tidak dilupai.
Seni Gayong telah terpuji,
Dijunjung oleh seluruh negeri;
Pemuda-pemudi harus pelajari,
Agar Gayong kekal abadi.
Seni Gayong seni Melayu,
Tidak senang untuk ditiru;
Taat setia untuk mengaku,
Supaya menjadi lambang Melayu.
Seni Gayong seni pusaka,
Dipimpin oleh putera negara;
Supaya dapat taat setia,
Amanah guru harus dijaga.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan