Khamis, 28 Mei 2015

Dengan Bismillah mula dikata,
Mengingatkan kebesaran Allah yang mulia;
Kerana wajib telah ternyata,
Segala perbuatan mahulah diserta.
Seni Gayong payung pusaka,
Naungan aneka hikmat mulia;
Rahsia tersimpan di purbakala,
Ilham menyusun zahir semula.
Lembaganya bersih baunya suci,
Berseru kepada putera dan puteri;
Agama yang mulia junjunglah tinggi,
Belalah bangsa, adat dan negeri.
Gayong mencantum bersatu padu,
Mengingatkan junjungan empunya seru;
Sama sendiri bantu membantu,
Selamat sejahtera hajat dituju.
Matahari terbit Palembang Seguntang,
Tanahnya subur ditanam padi;
Keris dihunus, dipegang, dijulang,
Kesatriaan pahlawan timbul kembali.
Gayong emas kendi pusaka,
Bekalan air raja kesakti;
Keris kuhunus langkah kumula,
Bangsa Melayu sudah terpuji.
Besi kuning besi kesakti,
Anak panah Sang Rajuna;
Kembali Gayong kebudayaan asli,
Di Tanah Melayu hulubalang tua.

Tempana Nipis nama asalku,
Keris pusaka Ratu Dewangga;
Niat derhaka kepada rajaku,
Taming menyerah keris pusaka.
Tempana Nipis nama asalku,
Besi tua di Tanah Jawa;
Hidup kembali kebudayaan bangsaku,
Tidak Melayu hilang di dunia.
Majapahit nama negara,
Tempat ratu raja Jawa;
Kalau diguna akal bicara,
Kebudayaan Melayu subur semula.
Seni Gayong seni asli,
Dari pusaka ibu pertiwi;
Umat Melayu menjunjung tinggi,
Akhir hayat tidak dilupai.
Seni Gayong telah terpuji,
Dijunjung oleh seluruh negeri;
Pemuda-pemudi harus pelajari,
Agar Gayong kekal abadi.
Seni Gayong seni Melayu,
Tidak senang untuk ditiru;
Taat setia untuk mengaku,
Supaya menjadi lambang Melayu.
Seni Gayong seni pusaka,
Dipimpin oleh putera negara;
Supaya dapat taat setia,
Amanah guru harus dijaga.


Selasa, 26 Mei 2015

Adat Mandi Perlimau Tapak & Seni PSSGM

SILAT SENI GAYONG adalah bersendikan adat. Maka setiap mereka yang ingin menjadi murid dan bergelar anak Gayong seharusnya menjalani upacara mandi perlimau tapak untuk memenuhi syarat penerimaan sebagai murid Gayong. Mereka yang ingin menjalani mandi perlimau tapak perlu menyediakan beberapa bahan termasuklah sejumlah duit sebagai bayaran atau pengeras atau boleh juga disebut sebagai mas kahwin. Kesemua bahan yang digunakan tidak bertentangan dengan hukum syarak dan tidak menyalahi akidah sebagai seorang Islam. Setiap bahan yang digunakan mempunyai sebab-sebab tertentu.
 
Bahan Mandi Perlimau Seni
Adat mandi perlimau tapak hanya dikhaskan untuk pesilat lelaki manakala bagi pesilat perempuan mereka perlu menjalani adat mandi perlimau seni. Kadar bayaran bagi mandi perlimau tapak dan mandi perlimau seni ialah seperti di bawah :-

·        Mandi Perlimau Tapak : RM11.50
·    Mandi Perlimau Seni : RM11.50 ( Perempuan ) & RM21.50 ( Lelaki )

Bahan-bahan yang digunakan pula ialah seperti berikut :-

MANDI PERLIMAU TAPAK
MANDI PERLIMAU SENI
·        Limau nipis
·        Akar sintuk
·        Asam jawa
·        Garam halus
·        Pisang emas
·        Kemenyan
·        Beras kunyit/putih
·        Biji bertih
·        7 bilah jarum
·        Limau nipis
·        Akar sintuk
·        Asam jawa
·        Garam halus
·        Pisang emas
·        Kemenyan
·        Beras kunyit/putih
·        Biji bertih
·        Sireh dan ramuan
·        7 jenis bunga wangi berlainan jenis
·        21 bilah jarum

Sebab-sebab penggunaan bahan :-
1. Limau nipis dan akar sintuk
  • Bahan ini bersifat menyuci. Digunakan oleh orang Melayu tradisional untuk menyucikan badan daripada kotoran misalnya daki.
2. Asam jawa dan garam halus
  • Untuk dimakan oleh pesilat sebagai simbolik kepada susah-payah mempelajari ilmu persilatan.
3. Pisang emas
  • Untuk dimakan oleh pesilat sebagai simbolik kepada kemanisan setelah memperolehi ilmu persilatan yang sangat susah dan memeritkan.
4. Kemenyan
  • Sebagai penyeri majlis agar sentiasa berbau wangi.Kemenyan merupakan bahan yang digunakan oleh orang Melayu tradisional untuk diperasapkan di dalam rumah agar berbau wangi.
5. 7 jenis bunga wangi berlainan jenis


7 jenis bunga diletakkan bersama bahan lain untuk adat mandi perlimau seni
  • Untuk dibuat mandi bunga. Pesilat akan mendapat khasiat daripada bunga yang harum lagi bersih setelah mandi bunga.
6. 7 bilah dan 21 bilah jarum
  • Simbolik kepada pelajaran tapak Gayong dan jenis-jenis senjata yang bakal dipelajari.
7. Biji bertih
  • Ini adalah bekalan kesatria atau pendekar Melayu zaman dahulu ketika merantau.
8. Sireh & ramuan
  • Sireh yang bertemu urat,dimakan sebagai salah satu pengubatan alternatif buat kaum Hawa untuk penjagaan kesihatan.
Dalam upacara ini, mereka perlulah dalam keadaan bersih daripada hadas kecil dan besar (dalam keadaan berwudhuk).

Pada peringkat mandi perlimau tapak, pesilat hanya dibenarkan mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setakat pelajaran Tapak Gayong sahaja. Bagi mandi perlimau seni pula, pelatih boleh mempelajari ilmu Silat Seni Gayong setinggi mana yang mereka mampu. 

     Penerangan awal oleh Cikgu Hakim     
Memotong limau nipis
Penerimaan Anak Gayong
  Bacaan doa untuk kebaikan anak Gayong  
Bahan mandi perlimau seni
Adat Perlimau Seni sedang dijalankan

Wallahua'lam...

Ahad, 24 Mei 2015

BENGKONG PSSGM

Setiap kenaikan peringkat bengkong, ahli gayong perlu menjalani ujian kenaikan bengkong mengikut kepada tahap sukatan pelajaran bagi setiap bengkong.

BENGKONG PSSGM
Harimau Pelangi Cula Sakti 7 atau disebut sebagai bengkong Hitam Harimau Pelangi Cula Sakti Gangga Negara adalah hak milik mutlak Allahyarham Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim.Hanya ADMAR yang layak memakainya kerana beliau ialah pengasas dan pencipta Silat Seni Gayong.Beliau juga yang tertinggi dalam kuasa eksekutif dan pelajaran.

*Warna MERAH pada bengkong Kuning & Hitam merujuk kepada mana-mana Jurulatih & Gurulatih yang telah pergi ke kursus kegurulatihan yang dianjurkan oleh PSSGM.Ianya sebagai pengiktirafan bahawa mereka berkebolehan untuk mengajar dan melatih.
Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ
Ini hak Mahaguru dan sesiapa sahaja yang bergelar anak Gayong hanya layak memakai sehingga Pelangi Hitam Chula 6 sahaja

Copy and WIN : http://ow.ly/KNICZ

Isnin, 18 Mei 2015

Iktibar Peperangan Islam : PERANG BADAR

SEBAB-SEBAB PEPERANGAN

Perang ini berlaku dalam bulan Ramadhan,tahun kedua hijrah ketika zaman Rasulullah SAW masih hidup.Sebab yang mendorong kepada berlakunya Perang Badar ialah perpindahan Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW dari Mekah ke Madinah tidak disenangi oleh pihak Quraisy kerana perpindahan tersebut akan menguatkan lagi kedudukan orang Islam. Selain itu, perpindahan atau penghijrahan ini akan memudahkan tugas Rasulullah SAW untuk mengembangkan agama Islam secara meluas dan bebas lagi ke seluruh Tanah Arab. Maka,wujudnya rasa bimbang dari kalangan Quraisy terutamanya kerana kota Madinah tersebut merupakan tempat persinggahan mereka berulang-alik ke negeri Syam. Pihak Quraisy telah menyaksikan keadaan Rasulullah SAW dan para sahabat di Madinah mulai stabil. Lantas pihak Quraisy bertindak kejam dan ganas dengan cara memusnahkan harta orang Islam yang masih ada di Mekah. 

Gambar Hiasan : Tentera Berkuda
Selain itu,mereka juga mencari kesempatan untuk melakukan serangan dengan cara membuat satu gerakan sulit bersama pihak Yahudi.Gerakan ini bertujuan hendak menghancurkan perkembangan agama Islam di Madinah. 

Bagi pihak Islam di Madinah,mereka telah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan dan pencerobohan. Rasulullah SAW diperintahkan bahawa waktu ini Madinah ini bukan masanya lagi untuk terus berlemah-lembut sebagaimana di Mekah dahulu. Sesuai dengan agama Islam sebagai agama keamanan dan kesejahteraan, maka Rasulullah SAW perlu mempertahankan kemuliaan diri orang Islam. 

Dalam bulan Ramadhan, tahun kedua hijrah, Rasulullah SAW diberitahu bahawa orang Quraisy akan melalui pinggir kota Madinah dalam perjalanan mereka dari Syam ke Mekah. Sebaik sahaja Rasulullah SAW diberitahu,baginda bersama-sama dengan 313 tentera termasuk beberapa orang askar berkuda menuju ke Badar iaitu satu kawasan yang terletak di luar kota Madinah. Tujuannya ialah mendesak orang Quraisy supaya menghentikan gangguan mereka terhadap Rasulullah SAW dan mendesak mereka supaya mencari jalan lain untuk kafilah mereka yang berulang-alik dari Mekah ke Syam. Langkah ini diambil kerana ingin memastikan orang-orang Madinah berasa aman dan tenteram. Ia juga bertujuan untuk menunjukkan kepada orang Yahudi dan orang munafik Madinah tentang keberanian orang Islam.

Berita angkatan Islam tersebut telah diketahui oleh Abu Sufian,ketua orang Qurasiy dalam perjalanan itu. Mereka kemudiannya mengambil jalan lain dan menghantar perutusan ke Mekah meminta bantuan tentera dengan alasan untuk melepaskan harta benda orang Quraisy daripada dirampas oleh orang Islam.Semua orang kenamaan Mekah selain daripada Abu Lahab bin Abdul Muttalib mengambil bahagian dalam angkatan tentera bantuan itu. Bilangan mereka dianggarkan 1000 orang. 

Angkatan tersebut kemudiannya bergerak menuju Madinah.Di pertengahan jalan,mereka bertemu dengan utusan Abu Sufian yang memberitahu bahawa orang Islam tidak menyekat kafilah mereka. Mendengar berita ini,ramai antara mereka mahu balik semula ke Mekah.tetapi Abu Jahal enggan berpatah balik. Dia menggesa supaya meneruskan perjalanan hingga sampai ke Madinah. Abu Jahal mempunyai kepentingan peribadi yang ingin menyelamatkan harta dan kekayaannya. Maka,perjalanan diteruskan untuk menghapuskan orang Islam di Madinah.

PERTEMPURAN MELETUS

Kemaraan tentera Quraisy telah diketahui oleh Rasulullah SAW maka baginda pun bermesyuarat dengan orang Islam dan mengambil keputusan akan menentang kemaraan dan serangan tentera Quraisy. Tanggal 16 Ramadhan, tentera Islam sampai ke Badar. Oleh kerana pihak Quraisy terlebih dahulu berhenti di sebelah lembah yang ada air maka terpaksalah pihak Islam berhenti di tempat yang tiada air.Tetapi seorang sahabat mencadangkan kepada Rasulullah SAW supaya orang Islam mengorek kolam supaya air yang mengalir ke sebelah pihak Quraisy itu dapat juga mengalir ke kolam. Rasulullah SAW bersetuju dengan cadangan itu dan orang Islam pun mula bekerja.

Keesokannya iaitu 17 Ramadhan, meletuslah pertempuran yang hebat di antara kedua pihak. Pertempuran ini terjadi kerana seorang tentera musuh yang bernama al-Aswad bin Abi al-Aswad menyerbu ke pihak Islam kerana hendak memecahkan kolam air tetapi segera dibunuh oleh Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib. Kemudian keluar tiga orang pahlawan Quraisy mencabar orang Islam yang berani beradu kekuatan. Mereka ialah Utbah bin Rabiah, anaknya al-Walid bin Utbah dan saudaranya Syaibah bin Rabiah. Cabaran ini disambut oleh tiga pahlawan Islam iaitu Sayyidina Hamzah,Sayyidina Ali dan Ubaidah bin al-Haris. Ketiga-tiga pahlawan Quraisy berjaya dibunuh. 

Setelah itu berlakulah pertempuran yang hebat antara tentera Islam yang mempunyai keyakinan Iman dengan tentera Quraisy yang mempunyai kekuatan fizikal semata-mata.Rasulullah SAW berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT,kemudian mara ke hadapan memberi perangsang kepada tenteranya. Pertempuran terus berlaku dari pagi sampai ke tengah hari.Akhirnya tentera Islam mendapat kemenangan. Seramai 70 orang pihak Quraisy termasuk Abu Jahal dan Umayyah bin Khalaf telah terbunuh manakala selebihnya ditawan. Tentera Islam hanya 14 sahaja yang gugur syahid. 

SELEPAS PEPERANGAN

Di Madinah, Rasulullah SAW memikirkan bagaimana cara yang patut dilakukan ke atas tawanan perang. Perkara ini dibawa ke satu mesyuarat orang-orang Islam. Sayyidina Umar yang terkenal dengan sifatnya yang garang dan mudah menuntut bela mengesyorkan supaya tawanan tersebut dibunuh kerana mereka adalah seteru Allah SWT,lambat laun mereka akan menentang agama Islam dan penganutnya. Cadangan ini tidak mendapat sokongan ramai. Kebanyakan orang menyokong pendapat Sayyidina Abu Bakar yang mencadangkan supaya dikenakan bayaran penebus diri. Dengan ini ekonomi orang Islam akan bertambah dan melalui layanan yang baik maka mudah-mudahan mereka akan diberikan hidayah untuk memeluk agama Islam.

Rasulullah SAW mengambil keputusan mengikut pendapat Abu Bakar yang mendapat sokongan majoriti. Baginda mengenakan tebusan sekadar yang sepatutnya mengikut keadaan masing-masing. Setinggi-tingginya ialah sebanyak 4000 dirham dan serendah-rendahnya ialah 1000 dirham. Mana-mana yang miskin tetapi ada pengetahuan membaca dan menulis kehendaki supaya mengajar 10 orang kanak-kanak Islam. Mereka ini kemudiannya dibebaskan apabila tebusan itu dibayar ataupun kanak-kanak itu sudah pandai. 

Kemenangan pihak Islam dalam peperangan Badar menguatkan lagi kedudukan orang Islam di Madinah.dan menambahkan keyakinan bahawa mereka adalah pihak yang benar. Mereka telah mula disegani dan ditakuti oleh kabilah-kabilah Arab lain dan digeruni oleh orang Yahudi dan munafikin Madinah. Di Mekah, pengaruh orang Quraisy mulai lemah dan merosot.

Orang-orang yang ditawan itu pula apabila balik ke Mekah,mereka menceritakan kepada sahabat-sahabat dan keluarga tentang kebaikan orang Islam. Cerita-cerita ini dengan secara tidak langsung telah memberi pertolongan yang besar kepada perkembangan agama Islam di Mekah. Mereka yang selalunya menerima layanan buruk dari pihak Quraisy di Mekah telah berhijrah secara diam-diam ke Madinah. 

KESIMPULAN RINGKAS DAN SOKONGAN TERHADAP PERJUANGAN DR MUHAMMAD MORSI

Begitulah cerita mengenai sejarah Perang Badar yang menyaksikan kemenangan kepada pihak Islam. Kesan daripada Perang Badar,agama Islam semakin berkembang dan pengaruhnya semakin diterima oleh masyarakat Mekah. Islam ialah agama yang mementingkan keamanan dan kesejahteraan sejagat. Islam juga agama yang sesuai untuk setiap peredaran zaman. Dalam masa menjaga keamanan, Islam menunjukkan sikap tegas agar pihak musuh terasa gerun dan takut untuk menindas serta melakukan kezaliman terhadap orang-orang Islam. 

Dr Muhammad Morsi
Di kesempatan ini, admin Seruling Melayu memohon dan menyeru agar kita memberikan sokongan kuat terhadap isu yang terbaru melibatkan maruah dan kedaulatan agama Islam iaitu isu Mesir. Kita sudah maklum bahawa Mahkamah Mesir telah membuat keputusan hukuman mati terhadap Presiden Mesir yang dipilih secara demokrasi yang sah iaitu Presiden Dr Muhammad Morsi dan lebih 100 pejuang Ikhwanul Muslimin yang lain. Turut dihukum ialah Ketua Kesatuan Ulama' Sedunia iaitu Dr Yusuf al-Qaradhawi. Sebagai Muslim yang ambil peduli akan saudara Islam, ayuh tunjukkan solidariti dan sokongan terhadap perjuangan Dr Muhammad Morsi dan para pejuang Ikhwanul Muslimin di Mesir. Tunjukkan juga bahawa kita di sini menolak,mengecam sekeras-kerasnya dan menentang kezaliman rejim al-Sisi. Tanda sokongan boleh dibuat dengan menukar profile picture atau cover page dalam facebook masing-masing atau group tertentu kepada gambar Dr Muhammad Morsi. Di samping itu, marilah kita bersama-sama berdoa untuk pembebasan Dr Muhammad Morsi, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lebih 100 pejuang agama yang lain. Diharapkan agar keputusan menjatuhkan hukuman mati tersebut tidak mendapat pengesahan Mufti Besar Mesir dan selanjutnya mengubah keputusan akhir yang bakal diketahui pada 2 Jun nanti. Takbir! 

Allahu Akbar!
Allahu Akbar!
Allahu Akbar!

Wallahua'lam... 


Khamis, 14 Mei 2015

Seruan JIHAD oleh Asy-Syahid Imam Hassan al-Banna

Asy-Syahid Imam Hassan al Banna telah lama meninggalkan kita. Kini,tahun 2015,telah 66 tahun kita ditinggalkan oleh pemimpin dan juga pencetus gerakan Islam yang begitu hebat sekali. Beliau dikagumi sehingga ke hari ini bahkan banyak kata-kata beliau menjadi penyuntik semangat. Entri kali ini membicarakan mengenai seruan jihad oleh Asy-Syahid Imam Hassan al-Banna,mudah-mudahan kita dapat bersama-sama menghayati dan seterusnya memahami konsep dan makna jihad yang luas.



Ketika menghuraikan tentang pembahagian jihad dengan kefahaman yang lengkap tidak terbatas kepada maksud peperangan sahaja,asy-Syahid Imam Hassan al-Banna berkata,

"Antara jenis jihad dalam Islam wahai saudara yang dikasihi: perasaan yang kuat meliputi kelembutan hati itu kepada kehebatan dan kemuliaan Islam, rindu kepada kekuasaan pemerintahan dan kekuatan Islam serta menangis sedih atas kelemahan umat Islam dan kehinaan yang menimpa mereka."

Begitu juga perasaan ini menimbulkan rasa sakit yakni sedih terhadap keadaan tersebut yang tidak diredhai Allah,Nabi Muhammad SAW,jiwa yang sejahtera dan hati seorang Mukmin berdasarkan hadith sahih :
مَنْ لَمْ يَهْتَمَّ بِأَمْرِ الْمُسْلِمِينَ فَلَيْسَ مِنْهُمْ

Ertinya : "Siapa yang tidak mengambil berat tentang urusan orang Islam maka dia bukan dalam kalangan mereka."
 Ath-Thabarani
 
Seorang penyair berkata,

"Dengan kejadian seumpama ini hati menjadi lembut kerana sedih,sekiranya dalam hati itu terdapat Islam dan Iman."

Antara jenis jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kebimbangan yang berterusan ini dan suasana sedemikian hendaklah membawa kepada pemikiran yang kuat untuk berjaya, cuba mencari jalan keluar dan menggunakan waktu yang panjang untuk berfikir secara mendalam yang seterusnya memurnikan jalan-jalan untuk beramal serta menuntut aspek-aspek penelitian agar kamu mendapatkan jalan keluar dan penyelamat bagi umatmu.Niat seseorang itu lebih baik daripada amalannya dan Allah sahajalah mengetahui apa yang dikhianati oleh pandangan mata dan yang disembunyikan oleh hati.

Antara jenis jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kamu menyumbang sebahagian waktu,harta dan tuntutan diri kamu untuk kebaikan Islam serta generasi Muslimin.Sekiranya kamu seorang ketua tentera,maka kamu boleh menyumbang dalam tuntutan bidang kepimpinan dan sekiranya kamu seorang pengikut,maka kamu bertindak membantu para pendakwah.Setiap satu pihak terdapat kebaikan dan kedua-duanya dijanjikan Allah dengan dengan kebaikan.

Allah Tabaraka wa Taala berfirman,


مَا كَانَ لِأَهْلِ الْمَدِينَةِ وَمَنْ حَوْلَهُمْ مِنَ الْأَعْرَابِ أَنْ يَتَخَلَّفُوا عَنْ رَسُولِ اللَّهِ وَلَا يَرْغَبُوا بِأَنْفُسِهِمْ عَنْ نَفْسِهِ ۚ ذَٰلِكَ بِأَنَّهُمْ لَا يُصِيبُهُمْ ظَمَأٌ وَلَا نَصَبٌ وَلَا مَخْمَصَةٌ فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا يَطَئُونَ مَوْطِئًا يَغِيظُ الْكُفَّارَ وَلَا يَنَالُونَ مِنْ عَدُوٍّ نَيْلًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ بِهِ عَمَلٌ صَالِحٌ ۚ إِنَّ اللَّهَ لَا يُضِيعُ أَجْرَ الْمُحْسِنِينَ

وَلَا يُنْفِقُونَ نَفَقَةً صَغِيرَةً وَلَا كَبِيرَةً وَلَا يَقْطَعُونَ وَادِيًا إِلَّا كُتِبَ لَهُمْ لِيَجْزِيَهُمُ اللَّهُ أَحْسَنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Ertinya : "Tidaklah patut bagi penduduk Madinah dan orang di sekeliling mereka dalam kalangan Arab Badwi ketinggalan daripada (turut berperang bersama) Rasulullah, dan tidaklah patut mereka mengasihi diri mereka sendiri tanpa menghiraukan Baginda.Larangan itu disebabkan mereka tidak ditimpa rasa dahaga,penat lelah,kelaparan (dalam perjuangan) di jalan Allah; (tiap-tiap kali) mereka menjejak sesuatu tempat yang menimbulkan kemarahan orang kafir; dan (tiap-tiap kali) mereka menderitai suatu kecederaan daripada pihak musuh,melainkan kesemua itu ditulis bagi mereka sebagai amal soleh.Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berusaha memperbaiki amalannya.Mereka juga tidak membelanjakan suatu perbelanjaan kecil atau besar,dan tidak melintasi suatu lembah ,melainkan ditulis pahala bagi mereka supaya Allah membalas dengan balasan yang lebih baik daripada apa yang mereka telah kerjakan."
Surah at-Taubah 9 : 120-121


Antara jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kamu menyuruh kepada kebaikan,mencegah kemungkaran,patuh kepada Allah,Rasul dan kitabNya,taat dan menasihati para pemimpin Muslimin dan orang kebanyakan mereka.Kamu juga mengajak kepada jalan Tuhanmu dengan kebijaksanaan dan nasihat yang baik.Tidak ada suatu kaum yang meninggalkan budaya nasihat-menasihati melainkan mereka menjadi hina dan tidak ada suatu kaum yang meremehkan amalan saling mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran melainkan mereka tidak diberi pertolongan oleh Allah SWT. Firman Allah Taala,

لُعِنَ الَّذِينَ كَفَرُوا مِنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ عَلَىٰ لِسَانِ دَاوُودَ وَعِيسَى ابْنِ مَرْيَمَ ۚ ذَٰلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ

كَانُوا لَا يَتَنَاهَوْنَ عَنْ مُنْكَرٍ فَعَلُوهُ ۚ لَبِئْسَ مَا كَانُوا يَفْعَلُونَ

Ertinya : "Orang yang kufur dalam kalangan bani Israel telah dilaknat (dalam kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibnu Maryam.Perkara sedemikian adalah disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas.Mereka sentiasa tidak saling mencegah perbuatan mungkar (derhaka dan melampaui batas) yang mereka lakukan.Demi sesungguhnya,amat buruklah apa yang mereka telah lakukan."
Surah al-Ma'idah 5 : 78-79


Antara jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kamu mengingkari orang yang menentang agamanya dan memboikot orang yang memusuhi Allah dan RasulNya.Maka,tiada lagi hubungan,komunikasi dan makan minum bersama yang wujud antara kamu dengannya. Disebut dalam hadith:

"Sesungguhnya keaiban terawal yang masuk ke dalam bani Israel ialah apabila seorang lelaki bertemu dengan lelaki lain,maka dia berkata,'Wahai saudaraku ini! Apa ini?! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah apa yang kamu lakukan.Sesungguhnya itu tidak halal.' Kemudian,dia bertemu lagi dengannya pada keesokan hari dalam keadaan yang sama (masih melakukan maksiat) namun dia tidak menghalangnya daripada menjadi teman makan,minum dan duduknya.Apabila mereka berterusan melakukan sedemikian,Allah menghukum (memecahbelahkan hati mereka dengan hati sebahagian yang lain (perpecahan)."

Antara jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kamu menjadi tentera Allah dengan mewakafkan diri dan hartamu kepadaNya tanpa meninggalkannya sedikit pun.Apabila kesucian Islam diancam,kemuliaan Islam dicemari dan gerakan kebangkitan melaungkan seruan untuk mengembalikan keagungan Islam,maka kamulah orang pertama yang menyahut seruan tersebut dan terawal mara ke hadapan untuk berjihad.Firman Allah,


إِنَّ اللَّهَ اشْتَرَىٰ مِنَ الْمُؤْمِنِينَ أَنْفُسَهُمْ وَأَمْوَالَهُمْ بِأَنَّ لَهُمُ الْجَنَّة
 
Ertinya : "Sesungguhnya Allah telah membeli daripada orang yang beriman akan jiwa dan harta benda mereka dengan balasan bahawa mereka akan beroleh syurga."
Surah at-Taubah 9 : 111

Dalam hadith,Nabi Muhammad SAW bersabda,

"Siapa yang mati dalam keadaan tidak pernah berperang dan tidak berazam untuk berjuang maka dia mati di atas cabang nifak." 
 Riwayat Muslim
 
Dengan yang demikian,tercapailah apa yang diinginkan oleh Allah iaitu penyebaran Islam sehingga meliputi keseluruhan kawasan di Bumi.

Antara jihad di jalan Allah wahai kekasih : Kamu bekerja untuk menegakkan keadilan,memperbaiki hal ehwal manusia,menolong orang yang dizalimi ,mencegah tindakan orang zalim walau apa jua paksi dan kekuasaannya.

Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Abu Sa'id al-Khudri r.a,daripada Nabi Muhammad SAW,baginda bersabda,

"Seutama-utama jihad adalah mengucapkan kebenaran di sisi pemerintah yang zalim."
Riwayat Abu Daud

Diriwayatkan daripada Jabir r.a,Rasulullah SAW bersabda,

"Penghulu syuhada ialah Hamzah bin Abdul Muttalib dan seorang lelaki yang bangun menegur pemerintah yang zalim,lalu dia menyeru kepada kebenaran serta melarang pemerintah tersebut daripada kemungkaran,lalu pemerintah itu membunuhnya."

Antara jihad di jalan Allah Tabaraka wa Taala jika kamu tidak diberi taufik untuk menunaikan jihad-jihad yang lepas,kamu hendaklah menyayangi golongan mujahidin dengan sepenuh hati dan menasihati mereka dengan pandangan fikiranmu. Sesungguhnya Allah tetap memberi ganjaran kepadamu disebabkan perbuatan itu dan melepaskanmu daripada sebarang kemudaratan. Janganlah kamu jadi sebaliknya,lalu Allah menutup hati kamu dengan menghukummu dengan hukuman yang berat. Firman Allah,


لَيْسَ عَلَى الضُّعَفَاءِ وَلَا عَلَى الْمَرْضَىٰ وَلَا عَلَى الَّذِينَ لَا يَجِدُونَ مَا يُنْفِقُونَ حَرَجٌ إِذَا نَصَحُوا لِلَّهِ وَرَسُولِهِ ۚ مَا عَلَى الْمُحْسِنِينَ مِنْ سَبِيلٍ ۚ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَحِيمٌ

وَلَا عَلَى الَّذِينَ إِذَا مَا أَتَوْكَ لِتَحْمِلَهُمْ قُلْتَ لَا أَجِدُ مَا أَحْمِلُكُمْ عَلَيْهِ تَوَلَّوْا وَأَعْيُنُهُمْ تَفِيضُ مِنَ الدَّمْعِ حَزَنًا أَلَّا يَجِدُوا مَا يُنْفِقُونَ

إِنَّمَا السَّبِيلُ عَلَى الَّذِينَ يَسْتَأْذِنُونَكَ وَهُمْ أَغْنِيَاءُ ۚ رَضُوا بِأَنْ يَكُونُوا مَعَ الْخَوَالِفِ وَطَبَعَ اللَّهُ عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ فَهُمْ لَا يَعْلَمُونَ

Ertinya : "Orang yang lemah,sakit dan tidak mempunyai sesuatu yang boleh dibelanjakan,tidak menanggung dosa (kerana tidak turut berperang) apabila mereka berlaku ikhlas kepada Allah dan RasulNya.Tidak ada jalan sedikit pun bagi menyalahkan orang yang memperbaiki amalannya, dan Allah Maha Pengampun,lagi Maha Mengasihani.Tidak berdosa juga orang yang ketika datang kepadamu (memohon) supaya engkau berikan kenderaan kepada mereka,engkau berkata,'Aku tidak mempunyai kenderaan yang boleh digunakan untuk membawa kamu,lalu mereka pulang dalam keadaan mata mereka mengalirkan air mata kerana sedih disebabkan tidak mempunyai sesuatu pun yang boleh dibelanjakan (di jalan Allah).Sesungguhnya jalan (untuk menyalahkan dan menghukum) hanyalah ke atas orang yang meminta izin kepadamu sedangkan mereka kaya.Mereka suka tinggal bersama-sama orang yang tidak keluar berperang (kerana uzur) sambil Allah memateri hati mereka namun mereka tidak mengetahui (balasan buruk yang bakal menimpa disebabkan perbuatan mereka)." 
Surah at-Taubah 9 : 91-93

Semoga mendapat berkat daripada Allah Taala.Wallahua'lam... 

REFORMASI

Rabu, 13 Mei 2015

Pengertian Jihad

Pengertian JIHAD

Berdasarkan Fiqh Jihad, pengertian jihad ialah lebih umum pengertiannya daripada jihad perang ( qital ). Jihad hanya dianggap sebagai peperangan semata-mata oleh sesetengah lapisan masyarakat. Salah faham dan salah tafsir ini bukan sahaja berlaku dalam golongan bawahan yang beragama Islam dan bukan Islam sahaja,tetapi turut melibatkan para pengamal undang-undang iaitu hakim dan peguam,ahli sejarah,ahli pemikir,para orientalis,pendialog,ahli politik dan mahasiswa di universiti. 

Gambar Hiasan : Team Parang Silat Seni Gayong

Salah tafsir ini mungkin berlaku kerana kurangnya ilmu pengetahuan mengenai konsep jihad.Maka dengan itu, lahirnya satu bentuk konsep pemikiran tersendiri tanpa mendalami Islam dan syariah. Sedangkan para ulama' syariah sendiri menghadapi kekeliruan mengenai ini,apatah lagi golongan yang lain. 

Pendapat yang disuarakan oleh ulama' berpendapat bahawa jihad membawa pengertian atau maksud yang sangat luas daripada perang walaupun telah tertera dalam kefahaman umum fiqh bahawa jihad adalah perang.

Ulama' berpendapat pengertian jihad ialah mengerah tenaga dan kemampuan dalam peperangan pada jalan Allah dengan menggunakan jiwa raga,harta,pendapat,percakapan,ketenteraan dan sebagainya. Pengertian ini sememangnya luas,maka dengan itu boleh dikelaskan beberapa jenis jihad iaitu jihad melawan hawa nafsu, jihad melawan syaitan, jihad memastikan amar makruf nahi mungkar terlaksana, jihad mempelajari ilmu pengetahuan, jihad harta, jihad kalimah dan jihad perang.

Mengenai jihad perang, Dr.Yusuf al-Qaradhawi dalam penulisannya menerangkan dua kategori jihad iaitu Jihad ad-Daf' dan Jihad at-Thalab.

Jihad ad-Daf' secara ringkasnya ialah jihad mempertahankan sesuatu yang penting di negara sendiri. Jihad ini berlaku apabila wujudnya ancaman dalam pelbagai bentuk terhadap negara sendiri dan kawasan sekitarnya. Sebagai contoh mudah, satu-satu negara meletakkan pangkalan tentera sama ada dalam skala yang kecil atau besar sedangkan pangkalan tersebut teramatlah jauh dan dipisahkan dengan beberapa negara asing lain. Alasannya langsung tidak munasabah kerana telah melangkaui kawasan . Tidak lain dan tidak bukan,ianya bertujuan untuk melakukan ancaman berbentuk nyawa,harta dan pemilikan,kehormatan dan yang paling penting akidah Islamiah. Sekiranya berlaku salah satu ancaman ini misalnya pencabulan hak kebebasan memilih agama dan paksaan dalam menerima agama selain daripada Islam di negara sendiri,maka ia dinamakan Jihad ad-Daf'.

Jihad at-Thalab pula boleh didefinisikan secara ringkas sebagai peperangan yang dilancarkan terhadap negara luar atas alasan ingin meluaskan tanah jajahan takluk Islam.Pendek kata ianya dimulakan oleh satu-satu pasukan atau ketumbukan perang Islam terhadap negara asing yang tidak mahu menerima syiar Islam. 

Walaubagaimanapun, ini hanya sedikit perkongsian agar kita sama-sama dapat memahami konsep dan makna jihad. Banyak etika dan perkara yang perlu diambil kira dalam konsep jihad khususnya jihad perang. Jihad tidak boleh dilancarkan tanpa sebab-sebab yang munasabah dan diterima syarak bahkan disebut bahawa jihad itu tidak boleh dilancarkan terhadap golongan yang tidak memerangi kita dan tidak membenarkan atau tidak menghalalkan apa jua cara bagi mencapai matlamat mulia.Mudah-mudahan kita akan lebih terbuka bagi mendalami Fiqh Jihad agar tidak wujud salah faham dan salah tafsir mengenai jihad. Wallahua'lam...

Aku hanya "PEMINJAM"

Ya Allah Tuhan yang Maha Mendengar dan Maha Melihat...

Aku hanyalah seorang hamba yang amat daif.Aku lahir ke dunia dengan meminjam satu nyawa daripada Mu.Kehidupan aku di dunia yang fana ini juga meminjam nikmat daripada Mu.Engkau telah memberikan aku nyawa untuk memenuhi jasadku agar aku dapat bangkit dan hidup di dunia persinggahan ini.Bahkan jasadku juga dicipta oleh Mu. Setelah Engkau cipta jasadku,setelah Engkau tiupkan roh kepada jasadku,Engkau berikan pula aku ruang untuk menghirup udaraMu yang segar. Tanpa udara manakan bisa aku bernafas dan meneruskan kehidupan. 

Tidak cukup dengan itu, Engkau berikan rezeki dalam bentuk makanan dan air agar aku dapat menghilangkan lapar dan haus. Engkau kurniakan nikmat yang tidak terhingga yang tidak mampu aku bayar. Jikalau ada ratusan juta ringgit sekalipun, ia bukanlah milik aku sebaliknya ia datang daripada Mu. Aku hanya hamba Mu yang tersangat miskin. Jika aku kaya dengan bertan-tan emas,itu juga rezeki kurniaanMu. Bumi ini milik Engkau, Alam Semesta ini jua milik Engkau, aku juga milik Engkau. 

Semenjak aku dilahirkan sehingga kini, aku seringkali lalai dalam mengingatiMu. Engkau Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang,tidak pernah Engkau pinta untuk aku sebagai seorang hamba membalas apa yang telah Engkau beri pinjam,bahkan diriku juga meminjam. Aku tahu Engkau hanya mahu aku mengabdikan diri kepada yang Khaliq, bertakwa dan beramal kepada apa yang disuruh dan meninggal apa yang dilarang. 

Namun,sampai ke hari ini,iman dan takwaku masih terumbang-ambing. Hidup aku diselubungi dosa dan maksiat. Di sekelilingku,ada maksiat. Di hadapan aku,di kanan kiri aku dan di belakang aku jua ada maksiat. Dunia yang kini semakin gelap,semakin lupa kepada yang Maha Esa. Aku dihimpit dengan dosa dan maksiat,kadang-kadang aku juga terseret dalam lembah maksiat. 

Aku cuba dan terus mencuba untuk menjadi hambaMu yang taat. Tetapi aku masih lagi gagal. Aku masih belum memainkan akhlak Islam yang sebenar. Aku masih gagal mengawal stereng kereta aku daripada berlanggar ,masih belum berjaya untuk membawa dalam keadaan yang baik sedangkan aku telah berada di atas jalan yang lurus tanpa lengkok dan selekoh. 

Allah... Engkau tahu apa yang aku alami.Bantulah aku. Berikanlah kekuatan kepada aku untuk mencari titik mula yang sebenar-benarnya agar aku dapat menjadi khalifah yang sentiasa berada di bawah berkat,mawaddah dan sakinah serta rahmat dari Mu wahai Tuhan. Sayangilah aku ya Allah...

Aku tiada kekuatan untuk berdiri di bawah terik matahariMu,aku memerlukan pertolonganMu agar aku dapat merentasi titisan sirat dalam perjalanan menuju SyurgaMu wahai yang Maha Esa. Aku memohon pada Engkau, berikanlah ruang untuk aku terus memperolehi nikmat Islam dan nikmat Iman, terimalah hambaMu yang hina ini. 

Allah... Aku pohon padaMu ya Allah,lembutkanlah hati mereka,bukalah mata dan hati mereka untuk memahami tentang cabaran aku di masa ini. Sesungguhnya mereka jua adalah hamba-hambaMu yang bernaung di bawah kekuasaanMu,maka tiupkanlah rahmatMu kepada mereka. Ampuni aku ya Allah...

"Si Peminjam"

Kata-kata Hikmat Imam Syafi'ie

Imam Syafi'ie merupakan seorang alim dalam bidang ilmu fiqh,beliau terkenal juga sebagai sarjana dalam sastera bahasa Arab dan ilmu-ilmu yang lain. Beliau juga seorang yang bijaksana yang dapat memberikan penjelasan dengan tinggi serta padat. Nasihat dan kata-kata yang dikeluarkannya adalah mendapat sambutan dari banyak orang serta mereka mengikutinya.Kata-kata ini banyak disebutkan dalam kitab-kitab dan penulisannya yang ada hubungannya dengan itu. Di antara kata-kata dan nasihat Iman Syafi'ie adalah seperti di bawah ini :-


  • Belajarlah ilmu fiqh sebelum kamu menjadi pemimpin jika kamu menjadi pemimpin maka tiada lagi jalan untuk belajar.
  • Bukan rakan atau saudara mereka yang engkau ajak berbincang dengannya.
  • Menuntut ilmu lebih baik daripada solat sunat.
  • Keredhaan manusia adalah suatu tuntutan yang tidak terhingga baiknya,aku berkata yang demikian adalah semata-mata untuk memberi nasihat,bukankah yang terselamat dari manusia itu adalah suatu jalan,maka hendaklah engkau lakukan apa yang berguna kepada dirimu jalankan perkara itu lebih dahulu dan tinggalkanlah manusia dengan keadaannya.
  • Siapa benar dalam persaudaraan dengan sahabatnya diterima alasan-alasan,ditutup kekurangan dan diampuni kehinaannya.
  • Siapa senang kepada dunia maka hendaklah ia mencari ilmu dan barangsiapa yang senang berkehendak kepada akhirat,juga hendaklah ia mencari ilmu.
  • Seseorang tidak akan berhasil dalam menuntut ilmu melainkan ia menuntut semasa dalam kemiskinan,sesungguhnya aku pernah meminta tetapi sukar untuk mendapatkannya.
  • Barangsiapa menuntut ilmu hendaklah ia mendalaminya,tanpa kehalusan ilmu akan hilang.
  • Perhiasan ulama ialah petunjuk ( At-Taufik ) dan pakaiannya ialah baik akhlaknya sementara kecantikan mereka ialah jiwa mulia.
  • Kemiskinan ulama ialah kemiskinan ikhtiar dan jika kemiskinan orang jahil ialah kemiskinan kesusahan.
  • Barangsiapa yang mulia tanpa takwa ia bukan orang yang mulia.
  • Barangsiapa yang tamak kepada dunia dia akan menjadi hamba pada ahli dunia.
  • Politik memimpin manusia lebih sukar dari politik untuk memimpin binatang.
  • Jika ku dapati air minum sejuk mengurangkan maruah tentu aku tidak minumnya.
  • Orang yang menjaga maruah sentiasa dalam perjuangan.
  • Barangsiapa berbuat baik kepadamu ia mempercayakan padamu dan siap menjauhi engkau ia melepaskanmu.
  • Barangsiapa memburuk-burukkan untukmu ia akan memburuk-burukkanmu,siapa yang menyukaimu maka ia akan mengatakan sesuatu perkara yang bukan berada padamu dan siapa yang tidak menyukaimu maka ia juga akan mengatakan pada dirimu.
  • Barangsiapa menasihati saudaranya dengan sembunyi sesungguhnya ia menasihati dan menimbangnya dan siapa yang menasihati saudaranya terang-terangan,maka sesungguhnya ia memalukan dan mencelanya.
  • Manusia yang paling tinggi darjatnya ialah mereka yang tidak melihat darjatnya,begitu juga semulia-mulia manusia ialah mereka yang tidak melihat kemuliaanya.
  • Pertolongan adalah penyucian keajaiban.
  • Berseronok dengan menuruti manusia adalah mengajak teman yang tidak baik,menjauhkan dari mereka mengajak mereka kepada perseteruan,oleh kerana itu hendaklah dipertimbangkan dulu di antara keduanya.
  • Persahabatan dengan orang yang tidak takut kepada keajaiban mendapat malu di hari Akhirat.
  • Engkau dijadikan oleh Allah dengan bebas,maka hendaklah engkau hidup bebas sebagaimana engkau dijadikan.
  • Aku tidak memuliakan seseorang lebih dari darjatnya kerana darjatku yang hina dengan sebab aku melebih-lebihkan kerana memuliakannya.
  • Siapa memegang jabatan qadhi sedang ia tidak dikehendaki adalah seorang pencuri.
  • Barangsiapa yang mendengar dengan telinga ia seorang pencerita dan siapa yang mendengar dengan hatinya ia adalah orang sedar dan siapa yang memberi nasihat dengan perbuatan ia adalah seorang penunjuk.
Mudah-mudahan memberi manfaat kepada diri sendiri dan siapa yang membacanya. Fahamilah kata-kata hikmat yang ditinggalkan oleh Imam Syafi'ie ini. Wallahua'lam...

Khamis, 7 Mei 2015

Grading Gelanggang Naga Rantau

Syukur ke hadrat Allah SWT kerna dengan izin-Nya, gelanggang ambe yang pertama dan juga gelanggang di mana ambe mula mengenal silat seni gayong iaitu Gelanggang Naga Rantau telah berjaya mengadakan Ujian Kenaikan Bengkong bagi sesi 2015. Alhamdulillah, setelah beberapa tahun gelanggang ini ditubuhkan dan bertapak di Bumi UMP, pada kali ini, gelanggang ambe berjaya melahirkan 9 lagi pesilat berbengkong merah. Berkat latihan yang berterusan dan gigih,sahabat ambe iaitu Helmy, Amirul, Tahir, Syiba, kak Tim, kak Iklima, kak Mino, kak Ainil dan kak Mira berjaya mengharungi segala ujian dengan baik. Tidak lupa juga sahabat-sahabat ambe yang bengkong lain yang turut berjaya dalam ujian kenaikan bengkong putih ke hijau dan hitam mulus ke putih. 

Sesi Penerangan Ujian Kenaikan Bengkong

Persiapan barang mandi perlimau seni

Apa yang hendak ambe kongsikan lebih kepada pesilat-pesilat berbengkong merah. Merah adalah tanda pahlawan. Merah adalah lambang keberanian. Merah adalah darah dan warna darah itu adalah sama bagi semua manusia. Maka merah itu juga sebagai lambang persaudaraan dan bersilaturrahim. Apabila telah berbengkong merah,maka mulalah peringkat untuk mempelajari ilmu yang lebih tinggi bahkan boleh juga dikatakan sebagai permulaan yang sebenar dalam ilmu Silat Seni Gayong. 

Ujian Kenaikan Bengkong Putih ke Hijau

Buah Tapak Kunci Mati

Merah adalah permulaan dalam melangkah ke alam pendekar. Jikalau kita berjaya mengharungi 'cabaran' dalam berbengkong merah,berjaya dalam mengenalpasti,memahami dan membetulkan silap,maka kita dapat lahir sebagai permata yang bersilau lagi berharga. 

Barisan Jurulatih dan Gurulatih

Bersama pesilat bengkong hitam mulus

Bersama pesilat bengkong putih

Bersama pesilat bengkong hijau

Merah bukanlah tahap untuk kita banggakan. Merah sebagai penggerak kita menuju ke alam pendekar. Jikalau gagal membawa merah dengan baik dan sempurna, maka kita akan jadi seperti batu di tepi jalanan yang tiada nilai. Batu yang diguna untuk dibaling-baling dan dicampak. 

Wallahua'lam...