ULUNG "Ulangkaji & Latihtubi Silat Seni Gayong" telah berjaya dilaksanakan di Sungai Congkak, Hulu Langat. Pada awalnya program ini seolah-olah tidak dapat dilaksanakan atas sebab-sebab tertentu. Namun, itulah ujian dan dugaan yang harus dilalui oleh para pecinta ilmu. Alhamdulillah, usaha kami atau perancangan kami adalah sebab-sebab yang telah dizahirkan tetapi perancangan Yang Maha Khaliq tetap mendahului dan tidak akan pernah terbelakang.
Syukur, dengan kudrat dan iradat Nya, anak-anak naga dapat kembali berkumpul setelah beberapa purnama berjalan mencari makna dan pengalaman hidup.
Sepanjang Ulung, pelbagai teknik dan pelajaran telah diperturunkan mengikut tingkatan bengkong masing-masing. Siang dan malam diisi dengan ilmu persilatan di samping sedikit bekalan kerohanian.
Ulung kali ini telah diceritakan tentang 3 sahabat di zaman Rasulullah yang telah dimurkai Allah dan rasulNya kerana melengah-lengahkan urusan ke medan peperangan Tabuk. Akibatnya mereka ketinggalan jauh dari pasukan perang Islam sehinggalah sekembalinya Rasulullah, mereka langsung tidak dipandang oleh baginda. Peristiwa ini membawa kepada turunnya ayat pengampunan dari Allah Azza Wajalla menerusi surah at Taubah setelah ketiga-tiga sahabat ini memohon keampunan dari Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan