Selasa, 30 Jun 2015

Kerajaan Kesultanan Delhi di India BAHAGIAN 2

KELAHIRAN KERAJAAN GHORI

Ghori adalah nama bagi satu tempat di lereng pergunungan Afghanistan di antara Ghaznah dan Herat.Pengasas kerajaan berkenaan bernama Alauddin Husein bin Husein.Beliau berjaya menakluki Kerajaan Ghaznawi yang berpusat di Ghaznah pada tahun 1186 Masehi bersamaan 555 Hijrah sehingga raja Ghaznah yang paling akhir iaitu Malik Syah terpaksa berpindah ke Lahore.Setelah kedudukannya kuat di Ghaznah maka beliau terus membuat serangan ke Lahore.Serangan itu telah mendapat kejayaan yang cemerlang,lebih-lebih lagi di waktu Kerajaan Ghori dipimpin oleh Sultan Muhammad Abu al-Muzaffar al-Ghori kerana di waktu pemerintahannya seluruh wilayah yang dahulunya di bawah kekuasaan Kerajaan Sabuktigin semuanya dapat dikuasi dan ditakluki oleh Kerajaan Ghori.

Dengan ini tamatlah kerajaan keturunan Sabuktigin.Kota Ghaznah yang terkenal kaya itu telah dibakar dalam masa 7 hari 7 malam.Putera Ghor Allauddin adalah bertanggungjawab tentang pemusnahan kota tersebut.Beliau terkenal dengan gelaran Allauddin Johanoz yang bererti Allauddin Pembakar Dunia.Ia telah menghancurkan sama sekali kota tersebut hingga kepada kubur-kubur Sultan Ghaznawi melainkan kubur Sultan Muhammad Ghaznawi sahaja.

Allauddin telah meninggal dunia setelah memerintah selama 2 tahun.Pemerintahannya telah diganti oleh anak saudaranya yang bernama Ghiathuddin,kemudian diganti oleh saudaranya yang bernama Syahabuddin.Dalam masa pemerintahan ini muncul seorang putera Ghor yang bernama Muhammad al-Ghori yang bercita-cita hendak melakukan serangan melebihi dari apa yang dapat dicapai oleh Mahmud Ghaznawi terutamanya di India.Pada ketika itu,India hanya terdapat dua buah kerajaan Islam iaitu Panjab yang terletak di bawah pengaruh kerajaan Mahmud Ghaznawi dan Sind yang terletak di bawah pemerintahan keluarga dari keturunan Arab.


Sultan Muhammad al-Ghori telah berjaya memenuhi cita-citanya menjelang tahun 1182 Masehi setelah seluruh kawasan Sind menjadi kawasan jajahan takluknya.Selepas itu seluruh jajahan Lahore dan Panjab telah jatuh ke tangannya.Berikutnya, iaitu pada tahun 1193 Masehi beliau sekali lagi berjaya menghadapi serangan-serangan daripada angkatan persekutuan tentera campuran dari para maharaja dan maharani India yang dipimpin oleh Rajput. Kemenangan itu membolehkan Sultan Muhammad memasuki dan menakluki Ajmir,Delhi,Meerat,Renthambbhou dan Koil.Pada tahun 1194 Masehi, beliau menakluki Gujerat pula dan kemudiannya melucutkan jawatan Maharaja Kalinjar.Tahun 1202 Masehi, beliau berjaya menakluki negeri Bihar dan Benggala.

Pada tahun 1203 Masehi,kekuasaan Kerajaan Ghori telah sampai ke kemuncak ketinggian dan kegemilangan.Pemerintahannya telah sampai ke perbatasan China.Delhi telah dijadikan pusat pentadbirannya.Para maharaja dan maharani pula amat patuh kepadanya dan menghantar bayaran ufti setiap tahun. Corak pemerintahannya berjalan lancar dengan mengikut sistem pemerintahan Islam yang sebenar. Beliau memberi perlindungan yang sewajarnya kepada penganut agama Hindu. Peruntuhan berhala hanya berlaku sewaktu perang sahaja. Ketika ini, bayaran ufti dan cukai kepala ( jizyah ) diwajibkan untuk menjamin keselamatan mereka.

Ghori Empire

Muhammad Ghori mempunyai persamaan dengan Sultan Mahmud Ghaznawi dari segi kecekapan memimpin tentera dan kehandalan dalam peperangan. Penaklukannya meninggalkan kesan yang banyak di India. Beliau dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab mendirikan Kerajaan Ghori malahan juga pemerintahan Islam di India. Beliau telah mengambil kesempatan kelemahan raja-raja di India bagi menubuhkan sebuah empayar Islam di sana.Beliau juga berjaya menjalankan beberapa rancangan pembangunan di negeri itu.Pelabuhan Gujerat telah didatangi oleh kapal-kapal dagang dari Tanah Arab,Parsi dan dari Asia Tenggara.Di masanya jugalah hidupnya pentafsir al-Quran yang terkenal iaitu Fakhruddin al-Razi yang bertugas sebagai penasihat agama kepadanya.

Beliau mati dibunuh pada tahun 1206 Masehi,kemudian diganti oleh anak saudaranya,Sultan Mahmud.Walaubagaimanapun,kawasan yang diperintahnya adalah terhad kerana sebahagian besar empayarnya telah diperintah secara bebas oleh hamba-hamba sultan yang lalu dari bangsa Turki.Mereka itu termasuklah Tajuddin Yilduz yang memerintah di Ghaznah,Nasiruddin Kubaca yang berkuasa di Sind dan Qutubuddin yang berkuasa di Hindustan. Setelah memerintah beberapa tahun sahaja,Sultan Mahmud mangkat.Ketika itu,empayarnya terus berpecah dan berlakulah satu peperangan saudaranya yang akhirnya melumpuhkan empayar tersebut.Dengan demikian,berakhirlah pemerintahan Kerajaan Ghori di India tetapi pemerintahan Islam terus juga wujud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan