Selasa, 30 Jun 2015

Kerajaan Kesultanan Delhi di India BAHAGIAN 2

KELAHIRAN KERAJAAN GHORI

Ghori adalah nama bagi satu tempat di lereng pergunungan Afghanistan di antara Ghaznah dan Herat.Pengasas kerajaan berkenaan bernama Alauddin Husein bin Husein.Beliau berjaya menakluki Kerajaan Ghaznawi yang berpusat di Ghaznah pada tahun 1186 Masehi bersamaan 555 Hijrah sehingga raja Ghaznah yang paling akhir iaitu Malik Syah terpaksa berpindah ke Lahore.Setelah kedudukannya kuat di Ghaznah maka beliau terus membuat serangan ke Lahore.Serangan itu telah mendapat kejayaan yang cemerlang,lebih-lebih lagi di waktu Kerajaan Ghori dipimpin oleh Sultan Muhammad Abu al-Muzaffar al-Ghori kerana di waktu pemerintahannya seluruh wilayah yang dahulunya di bawah kekuasaan Kerajaan Sabuktigin semuanya dapat dikuasi dan ditakluki oleh Kerajaan Ghori.

Dengan ini tamatlah kerajaan keturunan Sabuktigin.Kota Ghaznah yang terkenal kaya itu telah dibakar dalam masa 7 hari 7 malam.Putera Ghor Allauddin adalah bertanggungjawab tentang pemusnahan kota tersebut.Beliau terkenal dengan gelaran Allauddin Johanoz yang bererti Allauddin Pembakar Dunia.Ia telah menghancurkan sama sekali kota tersebut hingga kepada kubur-kubur Sultan Ghaznawi melainkan kubur Sultan Muhammad Ghaznawi sahaja.

Allauddin telah meninggal dunia setelah memerintah selama 2 tahun.Pemerintahannya telah diganti oleh anak saudaranya yang bernama Ghiathuddin,kemudian diganti oleh saudaranya yang bernama Syahabuddin.Dalam masa pemerintahan ini muncul seorang putera Ghor yang bernama Muhammad al-Ghori yang bercita-cita hendak melakukan serangan melebihi dari apa yang dapat dicapai oleh Mahmud Ghaznawi terutamanya di India.Pada ketika itu,India hanya terdapat dua buah kerajaan Islam iaitu Panjab yang terletak di bawah pengaruh kerajaan Mahmud Ghaznawi dan Sind yang terletak di bawah pemerintahan keluarga dari keturunan Arab.


Sultan Muhammad al-Ghori telah berjaya memenuhi cita-citanya menjelang tahun 1182 Masehi setelah seluruh kawasan Sind menjadi kawasan jajahan takluknya.Selepas itu seluruh jajahan Lahore dan Panjab telah jatuh ke tangannya.Berikutnya, iaitu pada tahun 1193 Masehi beliau sekali lagi berjaya menghadapi serangan-serangan daripada angkatan persekutuan tentera campuran dari para maharaja dan maharani India yang dipimpin oleh Rajput. Kemenangan itu membolehkan Sultan Muhammad memasuki dan menakluki Ajmir,Delhi,Meerat,Renthambbhou dan Koil.Pada tahun 1194 Masehi, beliau menakluki Gujerat pula dan kemudiannya melucutkan jawatan Maharaja Kalinjar.Tahun 1202 Masehi, beliau berjaya menakluki negeri Bihar dan Benggala.

Pada tahun 1203 Masehi,kekuasaan Kerajaan Ghori telah sampai ke kemuncak ketinggian dan kegemilangan.Pemerintahannya telah sampai ke perbatasan China.Delhi telah dijadikan pusat pentadbirannya.Para maharaja dan maharani pula amat patuh kepadanya dan menghantar bayaran ufti setiap tahun. Corak pemerintahannya berjalan lancar dengan mengikut sistem pemerintahan Islam yang sebenar. Beliau memberi perlindungan yang sewajarnya kepada penganut agama Hindu. Peruntuhan berhala hanya berlaku sewaktu perang sahaja. Ketika ini, bayaran ufti dan cukai kepala ( jizyah ) diwajibkan untuk menjamin keselamatan mereka.

Ghori Empire

Muhammad Ghori mempunyai persamaan dengan Sultan Mahmud Ghaznawi dari segi kecekapan memimpin tentera dan kehandalan dalam peperangan. Penaklukannya meninggalkan kesan yang banyak di India. Beliau dianggap sebagai orang yang bertanggungjawab mendirikan Kerajaan Ghori malahan juga pemerintahan Islam di India. Beliau telah mengambil kesempatan kelemahan raja-raja di India bagi menubuhkan sebuah empayar Islam di sana.Beliau juga berjaya menjalankan beberapa rancangan pembangunan di negeri itu.Pelabuhan Gujerat telah didatangi oleh kapal-kapal dagang dari Tanah Arab,Parsi dan dari Asia Tenggara.Di masanya jugalah hidupnya pentafsir al-Quran yang terkenal iaitu Fakhruddin al-Razi yang bertugas sebagai penasihat agama kepadanya.

Beliau mati dibunuh pada tahun 1206 Masehi,kemudian diganti oleh anak saudaranya,Sultan Mahmud.Walaubagaimanapun,kawasan yang diperintahnya adalah terhad kerana sebahagian besar empayarnya telah diperintah secara bebas oleh hamba-hamba sultan yang lalu dari bangsa Turki.Mereka itu termasuklah Tajuddin Yilduz yang memerintah di Ghaznah,Nasiruddin Kubaca yang berkuasa di Sind dan Qutubuddin yang berkuasa di Hindustan. Setelah memerintah beberapa tahun sahaja,Sultan Mahmud mangkat.Ketika itu,empayarnya terus berpecah dan berlakulah satu peperangan saudaranya yang akhirnya melumpuhkan empayar tersebut.Dengan demikian,berakhirlah pemerintahan Kerajaan Ghori di India tetapi pemerintahan Islam terus juga wujud.

Rabu, 24 Jun 2015

Kerajaan Kesultanan Delhi di India BAHAGIAN 1

KEBANGKITAN KERAJAAN GHAZNAWI

Alpitigin

Kerajaan ini dikenali dengan nama Kerajaan Ghaznawi kerana pusat pemerintahannya yang pertama ialah di satu tempat di Afghanistan yang bernama Ghaznah, kira-kira 80 batu ke arah selatan Kabul. Kerajaan ini diasaskan oleh Alpitigin,seorang hamba yang berasal dari Turki.Beliau pernah menjadi wakil pemerintahan Kerajaan Samani di Bukhara pada tahun 961 Masehi.Kerana satu pertelingkahan di antaranya dengan Sultan Mansur,pemerintah Kerajaan Samani ketika itu,maka beliau telah dilucutkan dari jawatannya.Akibat daripada itu beliau mengumpul kekuatan dari pengikutnya dan mengisytiharkan Khurasan bebas dari kongkongan Kerajaan Samani.Akhirnya pada tahun 962 Masehi beliau telah menyerang dan menakluki bandar Ghaznah.Beberapa daerah di sekelilingnya dan beberapa wilayah di Parsi telah digabungkan dan membentuk kerajaan baru iaitu Kerajaan Ghaznawi.

Sabuktigin (976-977M)

Apabila Alpitigin meninggal dunia,Sabuktigin iaitu anak saudara beliau telah membangunkan kerajaan tersebut dan membuat beberapa serangan ke dalam wilayah India hingga berjaya menguasai Kabul dan Kandahar yang merupakan kunci pintu untuk masuk ke daerah India yang lain. Serangan-serangan ini berlaku antara tahun 986-987 Masehi. Pada tahun 997 Masehi,Kerajaan Samani telah mengakui kekuasaan bangsa Ghaznawi,setelah pemerintah Ghaznawi menolong memadamkan api pemberontakan terhadap kerajaan tersebut.Pengakuan tersebut menambahkan lagi pengaruh Kerajaan Ghaznawi di kalangan negeri-negeri Islam.

Sultan Mahmud Sabuktigin / Sultan Mahmud Ghaznawi (990-1030M)

Sabuktigin meninggal dunia pada tahun 998 Masehi bersamaan 387 Hijrah setelah beliau berkuasa menegakkan kuasa bangsa Ghaznawi hampir 20 tahun lamanya.Beliau diganti pula oleh puteranya iaitu Mahmud yang terkenal dengan gelaran Sultan Mahmud Sabuktigin atau Mahmud Ghaznawi. Beliau memakai gelaran sultan ini setelah mendapat pengiktirafan daripada Khalifah Abbasiyah di Baghdad.Sebagai seorang pahlawan Islam sudah tentu di dalam dadanya mendadak-dadak semangat hendak menyiarkan agama Islam ke negeri yang penuh dengan berhala sebagai penyambung usaha-usaha yang telah dilakukan oleh ayahandanya.

Beliau memulakan serangan dan penaklukannya dalam tahun 1005 Masehi dengan kira-kira 100,000 orang tentera.Kemudian serangan itu dilakukan berturut-turut sebanyak 17 kali.Tujuan beliau ialah menyebarkan seruan Islam ke daerah-daerah India yang luas dan untuk membulatkan kekuasaannya ke dalam tangan Kerajaan Ghaznawi.Beliau berjaya menawan kota-kota Islam di Kashmir.Beliau juga berjaya menawan kota-kota lain seperti Delhi,Ajmir,Kanauj,Kalinjar,Gujerat dan daerah-daerah antara Sungai Indus dan Sungai Ganges.Beliau turut terkenal sebagai Iskandar Islam.Tentera berkudanya sangat kuat dan ganas yang mana keanggotaannya disertai oleh orang-orang Turki Saljuk yang perkasa dan orang Afghanistan yang sememangnya terkenal dengan kecekapan berperang.

Pada peringkat pertama lagi serangan yang dilakukan oleh Sultan Mahmud di beberapa kawasan yang berhampiran telah mendapat kejayaan yang cemerlang.Kejayaan ini membawa kepada satu sikap pengawasan dan waspada yang teliti oleh raja-raja Hindu.Mereka mengadakan satu ikatan tentera di bawah pimpinan Maharaja Lahore.Ikatan ini dibuat demi untuk menghadapi tentera Islam.Antara maharaja yang ikut bersekutu dalam ikatan itu ialah Maharaja Lahore, Delhi, Ajmir, Kanauj, Gwalior,Kalinjar dan Ujjain.


Namun begitu,tentera Islam langsung tidak merasai gentar.Akhirnya pada tahun 1008-1009 Masehi berlaku satu pertempuran antara tentera berikat Hindu dengan tentera Islam Kerajaan Ghaznawi di suatu tempat yang bernama Patanda.Dalam pertempuran ini tentera Islam mendapat kemenangan yang cemerlang sekali walaupun bilangan mereka tidak begitu banyak berbanding tentera musuh.Kejayaan ini menyebabkan daerah-daerah tersebut dikuasai seluruhnya.Di sini tentera Islam telah mendapat harta rampasan perang yang banyak sekali.

Melihat kepada kejayaan Sultan Mahmud itu maka pada tahun 1024 Masehi para Maharaja Lahore mengadakan ikatan tentera yang lain pula.Tetapi sebelum ikatan tentera ini membuat serangan,Sultan Mahmud yang berwaspada menyerang terlebih dahulu. Hasilnya beliau berjaya menakluki Lahore manakala maharajanya dilucutkan jawatan. Kemudian tentera Sultan Mahmud menyerang pula negeri Kalinjar dan Gwalior. Pada tahun 1025, satu serangan pula dilancarkan terhadap Gujerat di mana di situ terdapatnya berhala Sumenat yang besar dan megah. Sebaik sahaja berjaya, berhala tersebut telah dihancurkan.

Kejayaan-kejayaan perang yang dibuat oleh Sultan Mahmud di India malangnya tidak mempunyai satu sistem kerajaan bersekutu.Akibatnya selepas kematian beliau pada tahun 1030 Masehi boleh dikatakan hampir keseluruhan wilayah di bawah takluknya telah berpecah kepada beberapa wilayah yang kecil-kecil.Walaubagaimanapun kejayaan Sultan Mahmud itu telah memberikan jasa yang besar kepada perkembangan Islam di India di mana daerah takluknya meluas hingga ke Siberia,Turkistan dan negeri China.Beliau telah berjaya memperkenalkan kalimah tauhid di kawasan utara India dan menghapuskan penyembahan berhala.Kejayaan Sultan Mahmud juga menjadikan India masyhur dan terkenal di dunia dengan kekayaan emas,perak dan permata yang mahal harga dan tidak pernah dijumpai oleh orang Eropah sebelum itu.

Khalifah Abbasiyah di Baghdad waktu itu yang bernama al-Qadir Billah telah mengakui kejayaan Sultan Mahmud ini.Beliau kemudiannya memberi gelaran Aminu-Daulah yang bererti orang kepercayaan agama.Sebab-sebab kejayaan Sultan Mahmud ialah kerana kehandalannya dalam peperangan dan dalam pimpinan pasukan perang.Apalagi waktu itu negeri India yang besar berpecah-belah kepada beberapa wilayah kecil yang diperintah oleh maharaja-maharaja dan maharani-maharani tertentu. Antara mereka pula ada yang terlalu fanatik kepada pihak mereka sendiri.Di samping itu Sultan Mahmud adalah seorang panglima Islam yang mempunyai semangat jihad yang kuat.

Sungguhpun Mahmud Ghaznawi lebih terkenal dengan kegiatan militernya,tetapi masa pemerintahannya juga tidak kurang dengan kemajuan kesenian dan ilmu pengetahuan.Sultan Mahmud terkenal sebagai seorang yang cintakan ilmu pengetahuan.Di istananya terdapat ramai ahli fiqah,ahli bahasa,ahli tasawuf dan ahli falsafah yang berkumpul dan berbincang mengenai ilmu. Di zaman pemerintahannya, kita bertemu dengan Ibnu Nasr al-Farabi ,seorang failasuf,al-Berumi,seorang failasuf dan ahli sejarah,al-Firdaus,seorang penyair Parsi,Umar Khayyam juga seorang penyair,Badiuzzaman al-Hamdani dan Abu Bakar al-Huarizmi sebagai seorang penulis agung.

Setelah Sultan Mahmud meninggal dunia,takhta kerajaannya diganti pula oleh puteranya,Muhammad.Kemudian oleh putera keduanya yang bernama Mas'ud bin Muhammad (1030-1040M).Mereka mengikut jejak langkah ayahandanya memperluaskan kuasa.Sepeninggalan Mas'ud,Kerajaan Ghaznawi telah dikendalikan oleh 13 orang pemerintah yang lemah-lemah dan tidak berkaliber untuk melanjutkan kuasa yang diberi oleh pemimpin yang terdahulu.Kegiatan militer dan ilmu pengetahuan sudah tidak ada lagi.Apalagi di zaman kebelakangan Kerajaan Ghaznawi terpaksa menghadapi persaingan dengan Kerajaan Saljuk yang telah dapat meluaskan kekuasaannya hingga ke dalam wilayah-wilayah yang diperintah oleh Kerajaan Ghaznawi.Akhirnya kerajaan yang berpusat di Ghaznah itu dianggap tidak sesuai lagi untuk berpusat di situ buat selama-lamanya dan terpaksa berpindah ke Lahore dalam negeri India,kemudiannya terkubur di sana.

Walaubagaimanapun Kerajaan Ghaznawi yang memerintah selama 255 tahun itu telah berjaya membawa satu nilai yang dibanggakan kepada perkembangan tamadun Islam khususnya di Asia ini.Kerajaan inilah yang memperkenalkan kesenian dan kebudayaan Islam di India yang hingga hari ini masih wujud dengan megahnya.Banyak bangunan dan masjid telah dibina di bandar-bandar Ghaznah,Multan,Lahore,Benares dan beberapa bandar lagi.