Jumaat, 11 September 2015

Seni Khat Kufi Murabba'

Indahnya seni khat dalam Islam ...

Seni khat kufi murabba' sangat menitikberatkan ketelitian agar tidak berlaku kesilapan huruf. Hal ini sangat penting kerana kesilapan satu huruf akan menyebabkan perubahan bunyi. Lebih-lebih lagi jika menggunakan ayat-ayat Kalamullah daripada kitab suci  Quranul Karim. Kesilapan tersebut akan mengubah bunyi ayat apabila dibaca dan seterusnya berlaku perubahan makna. 

Di samping itu, kreativiti juga adalah salah satu aspek yang sangat penting ketika meletakkan atau menyusun kedudukan huruf dan ayat untuk dipergayakan dalam pelbagai bentuk. Pencinta seni khat atau mana-mana individu yang ingin membuat sesuatu khat kufi murabba' perlu tahu bagaimana bentuk huruf di permulaan ayat, pertengahan ayat dan penghujung ayat. Bukan itu sahaja, mereka perlu tahu dan faham bagaimana ingin menulis huruf ketika divariasikan kepada bentuk-bentuk tertentu yang bersesuaian. Perkara berikutnya yang perlu diambil perhatian ialah arah datuman huruf sama ada utara, selatan, timur atau barat.

Akhir sekali, pencinta seni khat atau individu yang ingin mencuba seni khat kufi murabba' atau square perlu memiliki kemahiran menyelesaikan masalah. Mereka harus tahu dan faham bagaimana ingin menulis huruf-huruf dalam ruangan yang kompleks tetapi masih mengekalkan bunyi dan makna, mengubah arah datuman huruf, meletakkan titik agar bentuk kekal sebagai square dan kebolehan untuk membacanya kembali sebagai semakan. Secara tidak langsung, seni khat kufi murabba' sebenarnya melatih ketajaman akal.

Ditegaskan di sini, hamba bukanlah individu yang boleh dijadikan sebagai rujukan untuk seni khat. Hamba tidak mempunyai kemahiran yang tinggi tetapi apa yang ditulis di dalam entri ini hanyalah sebagai perkongsian untuk kita sama-sama melihat keindahan seni khat dalam Islam dan seterusnya menggalakkan atau mencetuskan satu keinginan untuk belajar dan mendalami seni khat. Dengan izin Allah SWT, jika ramai di kalangan kita khususnya anak-anak muda sebaya hamba yang mula mencintai khat, maka kita pasti dapat memartabatkan kembali seni khat. Apatah lagi seni khat ini menggunakan huruf-huruf Hijaiyyah seperti mana penulisan jawi. Sebagai seorang berbangsa Melayu dan Islam, kita sepatutnya tahu, faham dan mahir tentang jawi. Jawi adalah cara penulisan kita yang sebenar dan telah diamalkan oleh nenek moyang Melayu kita sejak dahulu kala. Jawi adalah tulisan yang perlu kita banggakan dan bukannya ditinggalkan dan dibunuh. 

Jazakumullahu khairan khatira...

Waallahua'lam.

Rabu, 9 September 2015

KUNCI MATI SILAT SENI GAYONG

Silat Seni Gayong telah dicipta dan diasaskan oleh Allahyarham Mahaguru Dato Meor Abdul Rahman bin Daeng Uda Mohd Hashim. Ilmu persilatan ini semakin hari semakin berkembang. Bermula dari kampung ke kampung, daerah-daerah, negeri-negeri dan peringkat nasional. Malah, Silat Seni Gayong pada hari ini turut berkembang ke beberapa buah negara dari pelbagai benua. 

Keunikan buah silatnya boleh dilihat melalui Buah Tapak Kunci Mati. Ini hanyalah sebagai contoh. Terdapat banyak lagi silibus dan pelajaran yang lebih kompleks. 


Nota : Gambar di atas hanyalah rujukan peribadi milik Seruling Melayu dan tidak sesekali diberikan kepada mana-mana individu atau gelanggang atau persatuan untuk dijadikan bahan rujukan . Gambar rajah ini adalah tidak lengkap kerana ingin mengelakkan mana-mana individu belajar tanpa berguru. Sebarang penggunaan daripada gambar ini adalah tanggungjawab sendiri jika terdapat kesilapan.